IPOH – Hanya kerana salah sidai baju, seorang pelajar tingkatan satu
terpaksa menjalani pembedahan di mata kirinya selepas cedera akibat
dirotan guru di salah sebuah sekolah berasrama penuh di negeri ini, di
sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, remaja berusia 13 tahun itu
dirotan atas kesalahan tidak menyimpan baju yang disidai ke dalam almari
ketika pemeriksaan mengejut dijalankan oleh guru terbabit.
Bapa mangsa berkata, dia yang berniaga di Kajang, Selangor, terkejut
selepas dimaklumkan anaknya dimasukkan ke Hospital Teluk Intan akibat
dirotan oleh salah seorang guru di sekolah terbabit.
Menurutnya, ketika kejadian, cermin mata yang dipakai anak sulungnya
itu pecah akibat di rotan guru berkenaan menyebabkan serpihan kaca
terkena pada kanta mata sehingga luka.
“Berdasarkan laporan doktor, anak saya perlu menjalani pembedahan untuk
menjahit dua kesan koyak di dalam bahagian mata kirinya terutamanya
mata hitam.
“Guru terbabit mengakui merotan anak saya dan menghantarnya ke hospital
untuk mendapatkan rawatan. Walaupun dia menyatakan tidak sengaja dan
meminta maaf beberapa kali, saya berasa sedih dengan apa yang dialami
oleh anak saya,” katanya.
Menurut bapa mangsa lagi, dia kesal dengan tindakan guru terbabit yang
merotan anaknya secara melulu atas kesalahan yang tidak seberapa.
“Kalau benar satu kesalahan besar, saya tidak marah kalau guru terbabit
memukul di bawah paras pinggangnya tidak perlulah membabitkan organ
yang penting itu. Anak saya masih muda dan mata sangat diperlukan untuk
dia belajar.
“Anak saya kini mengalami trauma apabila di beberapa kali menyatakan
tidak mahu kembali ke sekolah terbabit sebelum dibawa masuk ke bilik
pembedahan.
"Saya juga bercadang untuk ambil tindakan selanjutnya,” katanya yang
telah membuat laporan di Balai Polis Teluk Intan sejurusnya dirujuk Ibu
Pejabat Polis Daerah Perak Tengah.
Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Dr Muhammad Amin
Zakaria ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya sudah
dimaklumkan tentang perkara tersebut.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan tentang kejadian itu
dan pelajar berkenaan masih dirawat di Hospital Teluk Intan.
“Berdasarkan laporan yang diterima, kecederaan yang dialami pelajar
terbabit tidak membimbangkan dan pihak sekolah akan menanggung
perbelanjaan rawatan terbabit.
“Kita juga sedang menyiasat dan laporan berkaitan kejadian akan dilaporkan terus kepada pihak berkaitan,” katanya.
No comments:
Post a Comment