TAWAU - Orang ramai diminta segera melaporkan apa sahaja maklumat
kes rasuah yang berlaku di tempat masing-masing tanpa ada perasaan
takut kerana identiti mereka tidak akan sesekali didedahkan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM), Datuk Mustafar Ali, berkata perkara itu penting bagi
mengurangkan salah laku jenayah rasuah dalam negara.
"Walaupun terdapat masyarakat yang takut menyampaikan maklumat kepada
SPRM kerana tidak mahu mengambil sebarang risiko akan kesan laporan itu,
namun mereka tidak perlu risau kerana identiti mereka tidak akan
sesekali didedahkan kepada umum.
"Namun pemberi maklumat itu harus bertanggungjawab dengan maklumat yang
diberikan kepada SPRM termasuk kualiti dan kesahihannya tanpa ada unsur
penganiayaan terhadap seseorang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis menandatangani
kerjasama dan sokongan pencegahan rasuah oleh pemimpin masyarakat di
Kampung Merotai Besar Tawau, dekat sini hari ini.
Mengulas mengenai program itu, Mustafar berkata ia merupakan program
turun padang untuk menjelaskan peranan dan tanggungjawab SPRM kepada
masyarakat.
"Dalam program ini, kita dapat mendengar pandangan masyarakat di sini
tentang kerjasama di antara orang ramai dan SPRM dalam membanteras
gejala rasuah," katanya.
Sementara itu, anggota Parlimen Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh
berharap program itu dapat memberikan pendedahan dan ilmu pengetahuan
kepada masyarakat tentang peranan yang dimainkan SPRM.
"Saya berharap menerusi program ini masyarakat khususnya di kawasan
Kalabakan dan Tawau mengetahui peranan mereka dalam menyampaikan
maklumat kepada SPRM mengenai rasuah yang berlaku di kawasan mereka,"
katanya.
No comments:
Post a Comment