DAP hari ini menzahirkan rasa terkejut dengan idea kerajaan perpaduan
bersama BN yang didakwa Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang mendapat
persetujuan mereka.
“Ini satu pendedahan yang mengejutkan kerana pemimpin DAP langsung tidak
pernah diberitahu tentang kerajaan perpaduan bersama Umno dan BN pada
tahun 2009.
“Hadi mungkin berminat dengan idea tersebut, namun cadangan kerajaan
perpaduan itu pastinya telah mengesampingkan DAP secara keseluruhan,”
kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Dalam kenyataan hari ini, Lim membangkitkan kebimbangan terhadap dakwaan
“kerjasama erat Hadi bersama Umno dan BN kian terserlah hari demi
hari”.
Ia, kata Lim, termasuk kontroversi sekitar syarikat pelaburan negara
1MDB, kesan buruk ekonomi akibat cukai baranhan dan perkhidmatan (GST)
selain serangan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Najib.
“Pendedahan Hadi tentang rancangan kerajaan perpaduan pada tahun 2009 di
tengah-tengah krisis perlembagaan di Perak, yang beliau nampaknya masih
berminat, menunjukkan sejauh mana beliau bersekutu dengan Umno dan BN,”
katanya.
Lim berkata Hadi mengabaikan slogan “PAS untuk Semua” dan penduduk Sabah
dan Sarawak serta bukan Melayu dengan hasrat “kerajaan perpaduan
pakatan Melayu sahaja” bersama Umno dan BN.
“Hadi mungkin tidak peduli bahawa tindakan sedemikian akan dilihat
sebagai pengkhianatan oleh pengundi bukan Melayu serta pengundi di Sabah
dan Sarawak yang telah menyokong PAS ketika pilihan raya umum yang
lalu.
“Bagaimana pun PAS akan mendapat balasan daripada pengundi anti-BN, yang
tidak senang dengan tindakan Hadi yang cuba menubuhkan kerajaan
perpaduan secara rahsia dengan BN, dalam pilihan raya umum yang akan
datang,” katanya.
Selain DAP, PKR
juga menafikan ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim atau mana-mana
pimpinan parti itu telah atau pernah bersetuju dengan idea bergabung
dengan BN.
BN pula tak dapat terima
Dalam sesi dialog di Kuala Lumpur semalam, Hadi mendakwa pihaknya
mengemukakan idea kerajaan perpaduan yang dipersetujui bersama dengan
Anwar dan bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat.
Hadi (bawah) berkata idea itu ketengahkan selepas krisis menteri besar di Perak.
"Biasanya sejarah dahulu tidak berulang benda yang sama. Jadi kita kemukakan idea kerajaan perpaduan.
“Ini dipersetujui bersama pertemuan antara saya, Datuk Seri Anwar
Ibrahim, mursyidul am. Dan kita bersetuju ketengahkan perkara ini.
"DAP pun bersetuju. Tapi malangnya perkara itu terbantut kerana BN tidak
dapat menerimanya. Itu ceritanya. Benda tu dah hilang. Dah luput
daripada sejarahnya."
No comments:
Post a Comment