SHAH ALAM - Susulan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)
dan kenaikan kos sara hidup, BN mungkin berdepan kekalahan jika Pilihan
raya Umum ke-14 (PRU14) jika ia diadakan dalam waktu terdekat ini.
Malah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang,
Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM),
Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, jika isu ini tidak
ditangani dengan baik, rakyat akan ‘lari’ kepada parti politik yang
mampu membantu mereka.
“Di negara barat, mereka (rakyat) akan lebih memilih untuk ‘apolitical’
iaitu tidak berminat langsung dengan politik... menolak terus politik
jika ada perbalahan parti. Kesan kepada itu pada pilihan raya selalunya
jumlah keluar mengundi turun, sebab mereka dah tak percaya pada parti
politik.
“Tapi di Malaysia lain sedikit. Lagi mereka (parti politik) berbalah,
rakyat makin mula minat politik. Dengan kewujudan media sosial buka
ruang untuk rakyat suarakan pandangan tanpa sekatan. Jadi, apabila
rakyat rasa terbeban dengan sistem ekonomi sekarang, mereka akan
bersuara dan mendekati parti politik yang mana mereka rasa perjuangkan
hak mereka,” katanya kepada Sinar Online.
Menurutnya lagi, PR boleh menang pada PRU14 dengan syarat pakatan pembangkang itu kukuh tidak goyang seperti sekarang.
“Kalau ada pilihan raya pada masa sekarang, agak sukar untuk BN. Isu
ekonomi ini yang dihadapi oleh semua peringkat rakyat akan menghambat
BN. Kalau mood politik pada hari ini kekal hingga PRU14, berat sikit
untuk BN menang tapi dengan syarat PR tidak berpecah belah, kukuh.
“jika PR pun berpecah belah, kita kena lihat kemudianlah bagaimana
suasana ketika itu nanti, sekarang tak boleh nak jangka lagi macam
mana,” katanya.
Mengulas soal pengumuman kerajaan berhubung isu kad tambah nilai
baru-baru ini, beliau menyifatkan kerajaan ‘terlupa’ bahawa golongan
pelajar paling ramai terkesan dalam isu berkenaan.
“Pada saya pengumuman menteri berkenaan GST dikenakan ke atas kad
tambah nilai itu tidak menyelesaikan keadaan. Walaupun alasan menteri
sebelum ini sebut ramai warga asing guna prabayar, saya rasa tidak juga
begitu. Paling banyak guna adalah golongan bawahan, pelajar.
“Golongan pelajar terutamanya yang sepatutnya dijaga pihak menteri
sebab mereka ini pengundi dalam pilihan raya akan datang. Jika mereka
tidak percaya pada parti politik tertentu, saya percaya parti politik
itu akan terjejas teruk. Sebab isu-isu ini melibatkan kehidupan mereka.
pengaruhnya besar. Faktor ekonomi memang boleh memberi kesan kepada
politik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau membangkitkan soal sasaran Malaysia untuk
menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 namun sehingga
kini, gaji minimum masih belum meningkat.
“GST memang baik tapi tempoh matangnya lambat. Jadi, apabila laksana
GST, banyak barang naik... di situ isu penguatkuasaan. Perlu dimantapkan
oleh pihak kerajaan. Kalau nak capai tahap matang pula, pendapatan isi
rumah perlu dinaikkan.
“Sekarang ini, pendapatan isi rumah tak naik. Bila nak naik? Kalau tak
naik, ia akan beri kesan yang tidak baik dari segi ekonomi di mana
inflasi akan meningkat, rakyat pun tidak banyak berbelanja sebab terlalu
berjimat cemat dalam perbelanjaan mereka. Jadi, pusingan ekonomi itu
akan kurang dan beri kesan kepada pertumbuhan ekonomi. GST ini banyak
kesan rantaian.
“Sasaran tahun 2020 Malaysia akan jadi negara berpendapatan tinggi,
tapi yang nak naikkan pendapatan itu bila? Itu yang kita tak tahu,”
katanya.
No comments:
Post a Comment