Wednesday, 20 May 2015

Pulau Bidong sebagai pusat perlindungan pelarian Rohingya







Oleh DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI





1. Menyelamatkan nyawa pelarian yang dizalimi dan terusir daripada tanah air sendiri adalah sebahagian daripada kewajipan beragama yang telah ditegaskan prinsipnya dalam al-Quran. Allah berfirman;

(
وَمَا لَكُمْ لَا تُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ
مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ وَالْوِلْدَانِ الَّذِينَ يَقُولُونَ
رَبَّنَا أَخْرِجْنَا مِنْ هَذِهِ الْقَرْيَةِ الظَّالِمِ أَهْلُهَا
وَاجْعَل لَنَا مِنْ لَدُنْكَ وَلِيًّا وَاجْعَل لَنَا مِنْ لَدُنْكَ
نَصِيرًا ) .




"Dan kenapa kamu tidak berperang di jalan
Allah dan demi golongan yang lemah di kalangan lelaki-lelaki,
wanita-wanita dan kanak-kanak yang menyeru wahai Rabb kami, keluarkanlah
kami dari negeri ini yang penduduknya melakukan kezaliman. Dan
jadikanlah untuk kami dari sisi-Mu seorang pelindung dan jadikanlah
untuk kami dari sisi-Mu seorang pembantu". (Surah al-Nisa ayat 75)

2.
Tidakkah Rasulullah saw dan juga para sahabat Muhajirin yang berhijrah
daripada Mekah merupakan golongan yang lari dan diusir keluar dari tanah
air mereka dan juga dirampas harta benda mereka? Mereka diperangi dan
dizalimi kerana agama yang dianuti oleh mereka. Mereka lalu diberi
perlindungan oleh orang-orang Yathrib (Madinah) bukan hanya melibatkan
makanan tetapi melibatkan harta, kediaman, pekerjaan dan pasangan hidup
malah seterusnya kerakyatan.

3. Lantaran itu Allah memuji
orang-orang Madinah yang kemudiannya dikenali sebagai Ansor yang
bermaksud pembantu-pembantu dalam firman-Nya;

( وَالَّذِينَ
تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ
هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِمَّا
أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ
وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ( 9 ) )




"Dan
mereka yang menyediakan negeri kediaman dan keimanan sebelum
(kedatangan) orang Muhajirin, mereka sayangkan orang-orang yang
berhijrah kepada mereka, mereka tidak mendapati dalam hati-hati mereka
sebarang hajat daripada apa yang telah mereka berikan dan mereka
mengutamakan mereka yang berhijrah berbanding diri mereka sendiri
meskipun mereka sendiri ada keperluan. Dan sesiapa yang terpelihara
daripada sifat kikir dirinya maka merekalah orang-orang yang beroleh
al-falah (kejayaan selepas kesukaran). (Surah al-Hasyr ayat 9)

4.
Malah Islam menegaskan kewajipan menyahut dan menyambut seruan memohon
pertolongan dan perlindungan nyawa sehinggalah mereka dapat dibawa ke
tempat yang aman sebagaimana firman Allah:

( وَإِنْ أَحَدٌ مِنَ الْمُشْرِكِينَ اسْتَجَارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّى يَسْمَعَ كَلَامَ اللَّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُ ( 6 )



"Dan
sekiranya seseorang di kalangan orang yang syirik meminta perlindungan
kepada kamu maka berilah perlindungan kepadanya sehinggalah dia
mendengar Kalam Allah kemudian sampaikanlah dirinya itu ke tempat yang
aman bagi dirinya" (Surah Taubah ayat 6).

5. Sebagai negara umat
Islam di rantau Asia, malah Pengerusi ASEAN pula, tidak memadai bagi
Malaysia hanya menganggap isu pelarian Rohingya sebagai isu kemanusiaan
semata-mata. Perhatian terhadap golongan ini mestilah di atas dasar
kemanusiaan dan persaudaraan Islam. Apatah lagi Rohingya dizalimi oleh
ekstrimis berpunca kerana anutan agama Islam yang mereka anuti.

6.
Usaha berterusan mesti dilakukan untuk mengatasi halangan-halangan
yang ada termasuk pada aspek perundangan dan hubungan diplomatik demi
memastikan pelarian Rohingya mendapat hak perlindungan; penempatan,
makanan, kesihatan dan pendidikan.

7. Pada 10 hb mei 2015 yang
lalu saya sempat menghadiri majlis pengkebumian semula 11 orang daripada
33 mangsa bunuh Rohingya oleh ejen penyeludupan manusia di Ban Talok,
Padang Basar di Selatan Thailand. Dikatakan ribuan lagi menjadi mangsa
bunuh oleh ejen-ejen ini apabila gagal melunaskan kos membawa mereka
lari menyelamatkan diri dari tanah air mereka.

8. Terkini pada
pertengahan Mei ini, lebih 1,000 orang etnik Rohingya cuba memasuki
Malaysia secara penyeludupan kerana lari daripada tekanan di negara
mereka dengan pelayaran di atas kapal yang uzur dan tidak cukup bekalan
makanan. Mereka perlu diselamatkan dan tidak wajar diberikan layanan
sebagai pendatang asing tanpa izin, apatah lagi mengusir mereka semula
ke tengah laut.

9. Etnik Rohingya sangat memerlukan pembelaan
khususnya daripada Malaysia selaku Pengerusi ASEAN. Menurut rekod
terdapat 800,000 hingga 1.3 juta orang etnik Rohingya di Myanmar yang
menetap di Rakhine tetapi kewarganegaraan mereka tidak diiktiraf, bahkan
dinafikan hak mereka untuk mengundi bermula 2012 lalu serta mereka juga
diperangi oleh pelampau Buddha.

10. Sejak tiga tahun lepas,
lebih 120,000 terpaksa keluar menyelamatkan diri dengan belayar di
lautan. Suku pertama tahun ini sahaja pula kira-kira 15,000 orang lagi
keluar ke laut untuk menyelamatkan diri di negara-negara jiran; 8,000
daripadanya ke perairan antara Malaysia dan Indonesia pada bulan ini.

11.
Walaupun Malaysia tidak memeterai Konvensyen 1951 berhubung kedudukan
pelarian, kita masih boleh mengadakan dasar serta prosedur dalam
menangani isu pelarian.

12. Saya mencadangkan agar pelarian
Rohingya ini diberikan perlindungan di lokasi yang pernah diiktiraf
secara rasmi sebagai kem pelarian pada 8 Ogos 1978 bagi melindungi
pelarian mangsa perang Vietnam iaitu Pulau Bidung di negeri Terengganu.

13.
Mengikut catatan sejarah, sepanjang 1975 hingga 1991, hampir 250,000
orang pelarian Vietnam beragama Budhha dan Kristian berlindung di pulau
ini sebelum ia ditutup pada 30 Oktober 1991 dengan baki pelarian dibawa
pulang semula ke Vietnam.

14. Kerajaan Malaysia perlu segera
mengiktiraf Pulau Bidung sebagai pusat perlindungan bagi pelarian
Rohingya. Pengiktirafan ini akan lebih memudahkan urusan pengurusan
pelarian dan menjadikannya lebih tersusun bagi memenuhi keperluan
pelarian dan pada masa yang sama melindungi kepentingan negara.

15.
Kerjasama dengan Kerajaan Negeri Terengganu juga perlu dibuat bagi
merealisasikan pembukaan pusat perlindungan ini. Ini kerana walaupun
Kerajaan Negeri Terengganu melarang pembinaan resort dan chalet setelah
pulau itu dibuka untuk tujuan pelancongan bagi memelihara warisan
sejarah pulau itu, pada akhir tahun lalu Kerajaan Negeri Terengganu
telah mengumumkan peruntukkan sebanyak RM1.5 juta bagi membaik pulih
kemudahan asas dan pemuliharaan dasar laut Pulau Bidung.

16.
Kesempatan ini sebaiknya dimanfaatkan oleh Kerajaan Persekutuan dan
Kerajaan Negeri Terengganu untuk membuka pusat perlindungan kepada
orang-orang Rohingya yang beragama Islam yang menjadi pelarian kerana
terpaksa meninggalkan tanah air mereka akibat tekanan oleh pemerintah
dan pelampau agama di wilayah yang mereka diami. Sekurang-kurangnya,
lebih 37,850 warga Rohingya yang yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia
setakat 2014 serta yang terkandas di perairan Malaysia baru-baru ini
boleh mendapat perlindungan di Pulau Bidung.

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus / Ketua Penerangan DUPP

No comments:

Post a Comment