Oleh: SYASYA SUFIAN
SHAH ALAM, 18 MEI: Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali
menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan anggota ASEAN
mengambil inisiatif atas dasar kemanusiaan terhadap pelarian etnik Islam
Rohingya.
Beliau berkata, semua pihak perlu menolak isu berlainan bangsa atau
saling menyalahkan dan memberi tumpuan kepada tugas menyelamatkan beribu
etnik Islam Rohingya yang memerlukan bantuan.
“Kita
perlu memikirkan penyelesaian strategik untuk jangkamasa panjang
melibatkan keperluan makanan, perubatan dan tempat tinggal.
“Ini masa sesuai untuk semua organiasai masyarakat serantau
berganding bahu dengan negara ASEAN dalam misi kemanusiaan menyelamatkan
etnik Islam Rohingya yang ditindas,” katanya.
Mohamed Azmin berkata, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN perlu segera
mengadakan mesyuarat bersama Menteri Luar ASEAN (AFMM) untuk
membincangkan isu itu.
“Antara isu kritikal adalah penempatan semula, penghantaran balik dan keselamatan yang perlu diberikan keutamaan.
“Tidak
dinafikan, Malaysia dan Indonesia akan menanggung beban percambahan kem
pelarian. Brunei dan Singapura juga perlu memainkan peranan penting ke
arah penyelesaian jangkamasa panjang,” katanya.
Pada masa sama, Mohamad Azmin juga mengecam keputusan badan kehakiman
Mesir ke atas bekas presidennya, Mohamed Morsi yang dijatuhkan hukuman
mati.
“Keputusan itu tidak wajar dan percubaan yang gagal termasuk
melanggar setiap proses serta kaedah keterangan. Ia juga ibarat
melenyapkan sistem demokrasi dan keadilan sejak rampasan kuasa berlaku
oleh tentera dan tangan ghaib di rantau ini,” katanya.-NFN-
No comments:
Post a Comment