Sunday, 24 May 2015

Kes culik: Tingkat risikan, dekati orang tempatan




Kes culik





SHAH ALAM - Kerajaan disaran melipatgandakan risikan dan mendekati
orang-orang tempatan sebagai salah satu cara menangani pencerobohan di
kawasan-kawasan yang berisiko tinggi di Sabah.



Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa,
Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Abdul Halim Sidek mendakwa
kebocoran maklumat berlaku hasil kerja orang dalam hingga mengakibatkan
berlakunya penculikan.



“Lanun atau penjenayah ini rupa memang macam orang Malaysia, pakaian
seperti kita dan bercakap pun bahasa kita jadi mereka boleh berpura-pura
menjadi orang awam. Cuma, adakah wujud ejen dalam kalangan kita (orang
tempatan) ini?



“Saya berpendapat, risikan amat perlu dilipatgandakan kerana
kebanyakannya yang beri informasi kepada mereka ini adalah orang
tempatan. Kita ambil contoh, orang yang sedang makan di restoran itu,
tempat itu memang lokasi tumpuan pelancong. Tetapi yang memberi
informasi...siapakah mereka yang datang ke sana...orang kaya ke berduit
ke...itu mesti kerja orang dalam,” katanya kepada Sinar Online.



Terbaharu, empat lelaki bersenjata menyerbu Restoran Ocean King di
Sandakan lalu menculik seorang lelaki dan seorang wanita dengan
disaksikan kira-kira 100 pelanggan termasuk kanak-kanak.



Thien Nyuk Fun, 50, kakak ipar pengurus restoran itu adalah seorang
daripada mangsa culik dalam kejadian 7.45 malam itu manakala seorang
lagi mangsa ialah Bernard Ghen Ted Fen, 39, dari Sarawak yang bekerja
sebagai perunding elektrikal di Kemboja.



Dalam pada itu, Abdul Halim menambah, pihak berkuasa perlu membina
jaringan dengan rakyat tempatan bagi mengukuhkan keyakinan mereka agar
bekerjasama dengan pihak berkuasa.



“Geografi kawasan itu sangat luas, jadi yang menjadi lanun atau
penjenayah ini mempunyai jaringan mereka sendiri dan pada bila-bila masa
mereka boleh bersembunyi di mana-mana. Ini yang menjadi masalah kepada
pihak berkuasa.



“Kerjasama dengan orang tempatan lebih rapat atau lebih kerap (perlu)
dilakukan supaya kita boleh meyakinkan orang awam untuk memberi
kerjasama yang terbaik kepada pihak berkuasa dan jangan memberi
informasi-informasi kepada orang luar. Industri pelancongan memang
tergugat kerana perkara ini,” katanya.


No comments:

Post a Comment