KOTA BHARU - Kelantan mempertaruhkan empat pemain importnya apabila
menentang Lions XII pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional
Bukit Jalil, Sabtu ini.



Jurulatih Kelantan, Mohd Azraai Khor Abdullah berharap barisan pemain
import The Red Warriors (TRW) iaitu Erwin Carillo, Austin Amutu, Gilmar
Da Silva dan Jonathan Mckain mampu menampilkan aksi terbaik pada
perlawanan tersebut.



"Amutu boleh bermain tetapi kita tidak tahu setakat mana dia boleh
beraksi dan berapa lama, namun saya rasa itu bukan masalah buat kita.



"Apa yang penting mereka lakukan yang terbaik dan kurangkan buat
kesilapan mudah, pemain perlu fokus kerana kesilapan mudah akan membawa
padah," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.



Beliau berkata, moral pemain juga amat baik pada masa ini, selain
segala persiapan untuk menghadapi perlawanan akhir itu berjalan lancar.



"Pemain semua cergas dan ini menunjukkan satu keadaan yang positif,
apabila sudah sampai di peringkat akhir kita mesti gunakan peluang ini
untuk menjadi juara.



"Kita tidak boleh ambil mudah barisan pemain Lions XII kerana mereka
berbahaya dan masih muda serta mempunyai pengalaman luas, saya buat
persiapan rapi dan kita bersedia jika perlawanan diheret ke masa
tambahan atau sepakan penalti," katanya.



Sementara itu, ketua pasukan TRW Mohd Badri Mohd Radzi atau Piya
berkata, pasukannya perlu berhati-hati dengan barisan serangan Lions XII
yang diketuai Khairul Amri.






"Mereka ini laju dan kita tidak boleh beri ruang kepada mereka kerana jika kita terleka, mereka akan menjaringkan gol.



"Kelantan perlu menang perlawanan ini sebab ia melibatkan maruah negara
dan kita mahu Piala FA berada di Kota Baharu, ini memang satu
tanggungjawab yang besar," katanya.



Mohd Badri berkata pasukannya juga bersedia jika perlawanan akhir itu ditentukan menerusi sepakan penalti.



"Kita memang sudah bersedia dan tahap kecergasan pemain juga semakin baik, harapnya kita dapat menang Sabtu ini," katanya.



Kelantan yang muncul juara pada 2012 dan 2013, mara ke final menerusi
kemenangan agregat 3-2 ke atas juara bertahan Pahang pada separuh akhir.



Lions XII pula melangkah ke final menerusi peraturan gol tempat lawan
walaupun terikat 4-4 secara agregat dalam satu lagi aksi separuh akhir,
berdepan Terengganu, Sabtu lepas. - Bernama