Thursday, 21 May 2015

Visi Tuan Ibrahim: PAS sensitif isu rakyat

















DETIK DAILY





Menggalas tugas besar mencabar pemimpin nombor dua PAS Mohamad Sabu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meletakkan visi mahu
menjadikan parti itu lebih sensitif isu rakyat. Perkara itu, kata
ulama terkenal itu, dengan menggesa pemimpin dan anggotanya lebih
kedepan dalam isu berkaitan rasuah dan masalah ekonomi negara.


Pada masa yang sama, naib presiden PAS itu berkata beliau juga mahu
menguatkan parti sebagai sebuah kumpulan melalui penganjuran program
tarbiah dan santai antara anggotanya.

Diwawancara Malaysiakini
melalui emel, Tuan Ibrahim menjelaskan perkara itu antara visi jangka
pendeknya jika dipilih menjadi timbalan presiden PAS bagi penggal
2015-2017.

"Ahli-ahli dan pemimpin PAS perlu ditarbiah untuk lebih sensitif terhadap isu rasuah, ekonomi dan masalah rakyat.

“Komponen bangunan (pasir, simen, air) mesti bersama, kalau tidak tak boleh buat apa-apa," katanya berkias.


Set lima soalan yang dijawab secara bertulis ini turut ditanya kepada
calon-calon bagi jawatan presiden, timbalan dan naib presiden dalam
pemilihan PAS penggal ini.

Tuan Ibrahim berdepan pertembungan satu lawan satu dengan Mohamad dalam pemilihan awal bulan depan di Kuala Selangor.

Berikut adalah sedutan temubual penuh Tuan Ibrahim.

Malaysiakini: Apa perancangan visi jangka pendek dan panjang jika dipilih?


Tuan Ibrahim: Visi jangka pendek ialah asas kekuatan parti bergantung
pada kekuatan ikatan jemaah. Oleh itu, tugas pertama ialah menguatkan
ukhuwah jemaah melalui program tarbiah dan program santai bersama
pemimpin. Kekuatan kita hanya satu, ikhlas dalam perjuangan. Ahli-ahli
dan pemimpin PAS perlu ditarbiah untuk lebih sensitif terhadap isu
rasuah, ekonomi dan masalah rakyat. Komponen bangunan (pasir, simen,
air) mesti bersama, kalau tidak tak boleh buat apa-apa.


Manakala visi jangka panjang pula, PAS bukan sahaja parti yang paling
awal sertai pilihan raya, kita juga paling awal untuk terjemahkan Islam
rahmat untuk semua di tengah-tengah Umno kuasai ketuanan Melayu.


Kita tampilkan dengan Rahmat Untuk Semua, bukan Melayu, Muslimin dan
lain-lain sahaja. Rahmat Untuk Semua sebabkan PAS jadi parti sangat
penting. Parti lain terpaksa buat anjakan persepsi terhadap PAS.

Penilaian terhadap prestasi PAS sejak kebelakangan ini. Kekuatan dan kelemahan?

Kekuatan PAS ialah istiqamah dengan Islam, berkonsep amal lillah iaitu beramal kerana Allah, (memperkuat) Unit Amal serta keikhlasan dalam perjuangan.


Kelemahan PAS pula ialah lambat menguruskan krisis dalaman yang
dicetuskan media sosial, tidak dilihat bergerak seiring dengan keputusan
parti dan presiden, perlu lebih berusaha menterjemahkan Islam sebagai
agama yang Ad-deen serta perlu menguatkan sistem penyaluran maklumat
agar suara musuh tidak dapat menjalar di dalam PAS.

kemelut utama PAS yang perlu diselesaikan segera?


Musuh PAS tahu PAS tak boleh dipecahkan dengan isu-isu luaran. Mereka
berusaha pecah melalui isu dalaman. Musuh usaha masukkan elemen musuh
dalam PAS untuk pecahkan PAS. Jangan bawa suara musuh dalam jemaah
hingga timbul keraguan sesama kita dan jangan sebarkan benda tak baik
sekalipun betul. Ini adalah masalah yang perlu diselesaikan segera.

Langkah terbaik dan segera yang perlu ditangani?


Cabaran PAS hari ini ialah media baru yang tidak boleh dikawal. Setiap
ahli perlu ditarbiah untuk menghentikan tindakan label-melabel, dan
membeza-bezakan antara ahli PAS. Jangan ambil maklumat tepi jalan dan
mudah percaya pada hantu-hantu di laman sosial yang tidak dikenali.


Tindakan ini telah membuka pintu kepada musuh memporak-perandakan PAS.
Ruang ini perlu ditutup rapat. Selain itu, semua ahli di semua
peringkat wajib memikul amanah dalam menjaga rahsia jamaah. Ingatlah
bahawa Allah melihat setiap perbuatan kita, termasuklah maklumat yang
kita sebarkan.

Harapan kepada kepimpinan Jawatankuasa Pusat PAS yang baru termasuk sayap parti.


Jangan biar orang yang kecewa tinggalkan jemaah. Jangan tubuh jemaah
dalam jemaah. Bawalah mereka balik ke landasan perjuangan. PAS perlu
dilihat sebagai parti yang terus istiqamah dengan perjuangan Islam -
parti yang sensitif terhadap kebajikan rakyat dan benci kepada rasuah
dan penyelewengan.

Di dalam politik, PAS wajib bersikap tegas
dengan dasar parti dan bersifat anjal dengan strategi dan
pendekatannya. Pendekatan ini juga akan menjadi teras sikap PAS dalam
kerjasama dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat untuk menumbangkan musuh
bersama kita iaitu Umno-BN di peluang terbaik kita pada PRU-14 nanti.


No comments:

Post a Comment