Pandikar Amin akan meletak jawatan jika cadangan yang dikemukakan tidak mendapat perhatian kerajaan.
Pandikar Amin Mulia 'meletakkan syarat' kepada Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak jika mahu beliau terus memegang jawatan sebagai
Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
Pandikar Amin berkata, beliau telah mengemukakan beberapa cadangan
pembaharuan dalam pentadbiran Parlimen sebagai respons kepada pertanyaan
perdana menteri mengenai punca mahu meletakkan jawatan itu.
Antaranya berkaitan penambahbaikan dalam pentadbiran Parlimen, infrastruktur dan aspek perundangan.
"Jika masih tiada pembaharuan (berdasarkan cadangan) dalam tempoh
'sederhana' sebelum tempoh penggal Parlimen Ke-13 berakhir, saya tidak
teragak-agak untuk meletakkan jawatan sebagai Speaker.
"Ketika itu, kalau perdana menteri tidak terima atau tidak
mengumumkan peletakan jawatan saya, saya sendiri akan umumkannya. Tak
perlu pihak lain untuk mengumumkan bagi pihak saya," katanya.
Pandikar Amin menjelaskan bahawa keinginan untuk meletakkan
jawatannya sebagai Speaker bukan berpunca daripada masalah perabot atau
kelengkapan pejabat yang tidak sempurna, sebaliknya atas prinsip
memartabatkan institusi Parlimen.
Bagaimanapun Pandikar Amin berkata, dalam tempoh memegang jawatan
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, beliau akan terus berjuang untuk menggalas
tugas, amanah dan tanggungjawab itu dalam mencorak dan memartabatkan
Parlimen di negara ini.
Mengenai pembaharuan, Pandikar Amin mencadangkan supaya ketua
pentadbir Parlimen baharu dilantik yang boleh bekerjasama dengan beliau
dan cadangan itu telah dipenuhi perdana menteri.
"Untuk menghilangkan persepsi rakyat bahawa institusi Parlimen dan
Speaker bertugas atas arahan pihak kerajaan sebagai badan eksekutif yang
bertentangan dengan doktrin pengasingan kuasa, maka jawatan Menteri di
Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal Parlimen ditiadakan.
"Jawatankuasa Pilihan Parlimen baharu perlu diwujudkan dan ditambah
daripada lima jawatankuasa sedia ada dalam usaha untuk melicinkan lagi
proses perbahasan rang undang-undang dan dasar kerajaan lain," katanya
pada sidang media di kediaman rasminya di sini, Selasa.
Pada sidang media sama, Pandikar Amin mengakui ada mengemukakan surat
peletakan jawatan kepada Najib pada 19 Mac lalu tetapi tidak diterima
perdana menteri sebaliknya diminta memberi penjelasan mengenai hasrat
itu.
Pandikar Amin berkata, bagi mengelak tuduhan bahawa Parlimen adalah
'rubber stamp' maka perlu diwujudkan 'masa menteri' untuk membolehkan
Ahli Parlimen mengajukan soalan kepada pihak menteri berhubung isu
semasa iaitu sesi pertanyaan tanpa notis, mungkin sekurang-kurangnya
sejam atau dua jam dalam sehari setiap minggu pada sidang dewan.
"Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan kerajaan pada 1992
sewaktu pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri
perlu diwujudkan semula dan diperbaharui selaras kehendak dan keperluan
semasa.
"Infrastruktur serta kemudahan Parlimen hendaklah dinaik taraf
setanding bangunan kerajaan Persekutuan dan Istana Kehakiman di
Putrajaya," katanya.
No comments:
Post a Comment