SHAH ALAM - Pemerhati melihat saingan sengit antara kedua-dua calon
Ketua Pemuda Pas, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz dan Suhaizan Kaiat
susulan iklim politik dalaman Pas yang dilihat lebih dikuasai golongan
ulama.



Namun, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej
Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara
Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat,
kelebihan dilihat berada di pihak Nik Abduh.



“Nik Abduh sekarang ini mendapat sokongan ulama yang konservatif
sementara Suhaizan mendapat sokongan daripada golongan ulama yang lebih
‘moderate’ dan profesional. Jadi, sukar untuk tentukan siapa yang
menang. Kerana kedua-duanya ada kekuatan.



“Tapi nampaknya sekarang ini kelebihan ada pada Nik Abduh. Pertama dia
anak Allahyarham Nik Aziz dan kedua, dia mendapat sokongan ulama yang
dilihat agak dominan dalam Pas,” katanya kepada Sinar Online.



Pemilihan Muktamar ke-61 Pas awal Jun depan menyaksikan Nik Abduh
kembali ke Pemuda Pas merebut jawatan itu dari penyandangnya, Suhaizan.



Meskipun begitu, beliau melihat Suhaizan masih ada potensi untuk mempertahankan kedudukannya.



“Cuma, Nik Abduh ini dilihat bermasalah dengan Nik Amar (Timbalan
Pesuruhjaya I Pas Kelantan, Datuk MohdAmar Nik Abdullah). Ada ‘clash’
sedikit antara kumpulan Nik Amar dengan Nik Abduh. Bimbang sebahagian
kumpulan yang ulama ini tidak mengundi Nik Abduh. Itu yang agak sukar
untuk diramalkan.



“Tapi potensi untuk menang masih ada lagi pada Suhaizan. Strategi
Suhaizan kena hebat sedikitlah kalau dia nak menang,” katanya.



Sementara, Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia
Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir menyifatkan calon yang mempunyai
pemikiran selari dengan kepimpinan tertinggi parti mempunyai
kecenderungan untuk menang dalam pemilihan kali ini.



“Saya fikir penyandangnya itu masih ada harapan tapi yang dilihat
betul-betul memperjuangkan perjuangan yang di atas landasan parti...yang
serasi dengan kepimpinan tertinggi akan menang.



“Jadi, siapa yang dilihat ada pendirian, ideologi dan pandangan yang
sesuai dengan kepimpinan tertinggi parti, calon itu saya fikir ada
mempunyai peluang lebih cerah,” katanya.