KUALA LUMPUR - Isu penculikan bersenjata di Sabah akan dibincangkan di
Dewan Rakyat pada persidangan sebelah petang hari ini apabila usul
mengenainya diluluskan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri
Dr Ronald Kiandee.



Menurut Ronald, usul itu memenuhi tiga kriteria utama iaitu merupakan
perkara tertentu, berkepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.



"Oleh itu saya membenarkan usul ini dibahaskan mengikut Peraturan
Mesyuarat 18 3(b), yang perbahasannya bermula pukul 4.30 petang dan akan
ditangguhkan pada 5.30 petang.



"Perbahasan akan dibenarkan selama 30 minit dan kerajaan akan menjawab selama 30 minit," katanya.



Usul mengenai penculikan di Sabah dikemukakan Datuk Raime Unggi
(BN-Tenom) yang antara lain bertujuan mencari penyelesaian dan
pendekatan berkesan serta komprehensif dalam menangani isu itu demi
keselamatan rakyat Sabah.



"Episod penculikan di Sabah disangka reda selepas pembebasan Lans
Koperal Zakiah Aleip yang diculik kumpulan bersenjata di Mabul, Semporna
tahun lepas.



"Bagaimanapun, episod itu berulang dengan kes terbaharu penculikan di
Restoran Ocean King, di Sandakan, yang berlaku hanya kira-kira 3
kilometer dari Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), dan
ini membuatkan rakyat Sabah berasa terdedah kepada bahaya," katanya
ketika membentangkan usul itu pagi tadi.



Beliau juga menyifatkan episod penculikan di negeri itu telah
menghantui masyarakat di negeri berkenaan, justeru usul itu wajar
dibincangkan demi kepentingan rakyat Sabah.



Dalam kejadian 7.45 malam, pada Khamis lepas, empat lelaki bersenjata
menyerbu Restoran Ocean King dan menculik seorang lelaki dan seorang
wanita warga tempatan dan kedua-dua mangsa dilaporkan kini berada di
salah sebuah pulau di perairan Filipina.



Thien Nyuk Fun, 50, kakak ipar pengurus restoran itu adalah seorang
daripada mangsa culik dalam kejadian 7.45 malam itu. Seorang lagi mangsa
ialah Bernard Then Ted Fen, 39, dari Sarawak yang bekerja sebagai
perunding elektrikal di Kemboja. - Bernama