KUALA LUMPUR - Menjelang pembentangan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11)
yang bakal diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak esok,
sudah pasti banyak reaksi bakal ditimbulkan pelbagai pihak.
Rancangan lima tahun pembangunan Malaysia bagi tempoh 2016-2020 sangat
dinanti-nantikan semua pihak, khususnya bekas Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad yang menjadi kayu pengukur kepada pemerintah sedia ada
untuk merealisasikan Wawasan 2020 bagi mencapai status negara maju.
Bagi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, beliau
mengharapkan RMK11 dapat menambah baik sistem pertahanan negara dengan
lebih efisien dari segi perbelanjaan kelengkapan persenjataan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Semberong berkata, pembiayaan untuk
sistem pertahanan negara perlulah realistik dan mengikut tiga kriteria
utama.
“Antaranya pembiayaan itu perlu mengikut kemampuan sumber kewangan
negara, pembelian aset pertahanan mestilah bersesuaian dengan ancaman
semasa dan pembelian aset sesuai dengan kehendak pihak berkepentingan.
"Tidak guna kalau kita bincang sesuatu kalau kita tak mampu
membiayainya, malah ia akan menimbulkan masalah kemudian hari dari segi
selenggaraan dan sokongan.
"Ancaman hari ini mungkin berbeza daripada ancaman yang kita hadapi
dahulu termasuk kemunculan gerakan militan Islamic State sejak akhir
ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi
Tuanku Jaafar pula mengharapkan RMK11 dapat memperuntukkan dana yang
lebih untuk memperkasakan agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam
Negeri.
"Dana itu boleh digunakan untuk membaiki pulih kemudahan pihak polis
seperti balai polis, IPD dan IPK di seluruh negara yang kebanyakannya
dibina sejak 60-an lagi.
"Kita juga boleh menambah keanggotaan pihak berkuasa di Jabatan Imigresen, PDRM dan Jabatan Pertahanan Awam.
"Tentera di peringkat hadapan apabila berlaku peperangan, kedua pihak
polis dan ketiga pihak pertahanan awam, tidak ada orang lain, kena
realisasikan, harapan saya sebelum kita sampai 2020," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong berharap kerajaan dapat
mewujudkan mekanisme baharu bagi mengatasi jurang pendapatan antara
golongan kaya dan miskin yang mencecah 40 peratus pada masa ini.
"Saya berharap dalam RMK11 ini ada mekanisme tertentu untuk
menyelesaikan masalah jurang kemiskinan dalam bandar dan luar bandar
sekaligus untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi di semua
peringkat," ujarnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen DAP Serdang, Ong Kian Ming pula
menggariskan enam permintaannya dalam RMK11 termasuklah menuntut
definisi baharu dalam garis kemiskinan, skim rasionalisasi subsidi yang
lebih telus dan masuk akal serta perbelanjaan kerajaan perlulah telus
dan tidak lagi tersembunyi.
"Kami juga menuntut perkongsian awam swasta yang telus dan tidak berat
sebelah ke arah sektor swasta, memberi kuasa yang lebih kepada kerajaan
negeri dan kerajaan tempatan serta membuat keputusan yang jelas apabila
berdepan kesukaran dalam membuat pilihan," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment