Oleh SUBKY LATIF
Polis sepatutnya bincang dulu tentang pembelian tanah itu ada unsur skandal dan adakah jenayah
dan penipuan. Cari dan tanya dulu pengerusi dan lain-lain pembesar
Tabung Haji terutama mereka yang dikatakan adalah pengarah juga kepada
1MDB yang amat bermasalah sekarang.
Tidaklah kita hendak
mengajar polis tetapi orang lihat polis seperti lebih suka mencari
perkara yang senang apabila ia hendak memburu pembocor rahsia sulit
dulu.
Mungkin menyiasat karenah pembesar Tabung Haji akan
berdepan banyak hantu raya, tetapi memburu pembocor maklumat tak ada
apa-apa risiko. Bertindak pun senang.
Dengan kecekapan polis kita,
tidak susah mencekup pembocor dokumen dan polis dikira berpuas hati
dapat bertindak dan menyelesaikan kes pembocoran itu.
Jika ini yang polis lakukan bererti ia mencari kesalahan yang kecil dan tidak mendahulukan pokok segala penyelewengan.
Orang
boleh kata, tindakan polis yang demikian sama seperti tindakan Raja
Singapura semasa dilanggar todak dulu. Kita tidak pasti apakah benar
todak pernah melanggar Singapura. Hanya Singapura ada pengalaman itu.
Tiada di mana-mana sebelum dan selepas itu ada kejadian itu.
Tidak
kira cerita itu benar atau sekadar rekaan, tetapi cerita itu bermoral
tinggi. Apabila todak menyerang, Raja hanya perintah sekalian berkubukan
betis. Todak bukan tuju betis saja. Habis perut, dada, peha dan muka
yang bertahan itu jadi sasaran.
Raja sepatutnya perintah
semua lari ke darat. Todak itu tidak akan kejar mangsa begitu jauh dari
pantai. Todak itu logiknya hanya terbang dari laut ke pantai. Apabila
jatuh di pantai, ia tidak terdaya melompat dan terbang lagi.
Melihat
masyarakat Singapura tak berotak itu, bagi mengelak lebih ramai mangsa,
seorang kanak-kanak suruh semua cari batang pisang, lalu habis todak
itu tersangkut pada batang pisang.
Maka selamatlah sekalian
daripada serangan todak itu. Tetapi pembesar-pembesar Singapura tidak
mengira jasa besar kanak-kanak yang dapat menyelamat jiwa dan rakyat
singapura sebagai satu rahmat besar dari Tuhan Seru Sekalian Alam.
Kanak-kanak
itu sepatut diberi peluang menuntut apa jua ilmu supaya otaknya lebih
bergeliga dan kemudian dapat memberi sumbangan besar kepada masyarakat.
Mereka tidak beri apa-apa hadiah kepada ibu bapanya tetapi mereka pesona
Raja dengan fitnah, jika dibiarkan kanak-kanak pintar ini besar dan
dewasa, nanti habis Raja dan pembesar diperdayanya.
Raja pun
bodoh macam rakyatnya juga bersetuju membunuh kanak-kanak itu supaya
dia tidak dapat lagi menggunakan otaknya utuk menyelamatkan rakyat dan
Singapura.
Pembocor dokumen beli tanah Tabung Haji itu
mungkin jahat tetapi dia boleh menyelamatkan harta Tabung Haji daripada
sekalian singa lapar. Jika polis terus kejar dia, maka kerja polis itu
dikira sama dengan Raja Singapura membunuh kanak-kanak yang
menyelamatkan orang jadi mangsa todak.
Janganlah polis jadi macam mata-mata Temenggung Melaka dulu, kerjanya memburu orang yang tidak disukai oleh Temenggung.-Harakahdaily
No comments:
Post a Comment