KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Hasan
Arifin hari ini mengangkat sumpah secara rasmi sebagai ahli parlimen di
Dewan Rakyat.



Kedua-dua ahli parlimen baharu itu mengangkat sumpah di hadapan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.



Dr Wan Azizah mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen



Permatang Pauh selepas menang dalam PRK pada 7 Mei lalu.



Beliau yang memperolehi 30,316 undi menewaskan calon BN, Suhaimi
Shabudin (21,475 undi), calon Bebas, Salleh Isahak (367) dan calon Parti
Rakyat Malaysia, Azman Shah Othman (101).



PRK Permatang Pauh diadakan berikutan penyandangnya, Datuk Seri Anwar
Ibrahim dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas mahkamah Persekutuan
mendapati beliau bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful
Bukhari Azlan.



Manakala, Hasan mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Rompin selepas memenangi PRK kawasan itu pada 5 Mei lalu.



Beliau menewaskan calon Pas, Nazri Ahmad dengan majoriti 8,895 undi.



PRK Rompin diadakan selepas kematian penyandangnya, Tan Sri Dr
Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, 4 April lalu.



Mesyuarat kedua penggal ketiga Parlimen ke-13 bermula hari ini dan dijangka berakhir pada 18 Jun.



Dalam pada itu, Pandikar turut mengumumkan secara rasminya pelantikan
Dr Wan Azizah sebagai Ketua Pembangkang bagi menggantikan Anwar.



“Saya berpuas hati dengan makluman Wan Azizah sebagai Ahli Parlimen
Permatang Pauh telah sebulat suara dilantik sebagai Ketua Pembangkang.



“Yang Berhormat Ahli Parlimen Permatang Pauh, selamat kembali ke
Parlimen dan selamat kembali menjalankan tugas sebagai Ketua
Pembangkang,” katanya.