SINAR HARIAN
KAJANG - Tindakan tegas akan diambil terhadap seorang pemimpin Umno
bahagian yang menyebarkan klip video ucapan Timbalan Perdana Menteri,
Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu program tertutup baru-baru ini.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, timbalan
ketua Umno bahagian itu mendakwa beliau menyebarkan klip video tersebut
untuk anggota jawatankuasa bahagiannya dan juga kumpulan Telegram
(aplikasi chatting) timbalan-timbalan ketua Umno bahagian di seluruh
negara.
“Saya telah menghubungi beliau dan beliau telah minta maaf. Saya pun
jawab tiada maaf bagimu. Kesalahan telah dilakukan. Dia perlu menanggung
akibatnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga
Kementerian Dalam Negeri di mini stadium Maktab Penjara Malaysia, di
sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata timbalan ketua Umno bahagian itu akan dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan Umno untuk tindakan selanjutnya.
Semalam, anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Razali Ibrahim berkata,
perbuatan individu yang menyebarkan klip video berdurasi tujuh minit itu
sesuatu yang tidak boleh diterima kerana telah menimbulkan kekeliruan
dan kegelisahan ramai.
Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata,
kandungan video itu sebenarnya jelas kenyataan Muhyiddin untuk
mempertahankan Presiden dan parti dan tidak benar ada dakwaan yang
mengatakan ia boleh membawa perpecahan dalam Umno. – Bernama
No comments:
Post a Comment