SHAH ALAM - Pas sudah cukup matang untuk bergerak bersendirian jika tidak mendapat persefahaman dengan rakan pembangkang lain.



Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr
Mohd Fuad Mat Jali berkata, pertelingkahan berlaku membabitkan pemimpin
PR tidak dapat disembunyikan lagi terutama antara Pas dan DAP.



Menurut beliau, jurang perselisihan faham antara dua sekutu itu semakin
melebar dan jika Pas tidak membuat pendirian tegas, parti itu akan
terhimpit dengan masalah yang lebih besar.



“Jurang (perselisihan) makin jauh, salah satu daripada mereka akan
jatuh ke dalam jurang itu. Jika tidak dirapatkan semula, tidak mustahil
PR akan terbubar.



“Pertelingkahan antara pucuk pimpinan tertinggi parti sukar untuk
didamaikan apabila kedua-dua berpegang pada perjuangan parti
masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian.



Terbaru Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengulangi kenyataannya bahawa PR
akan tinggal sejarah sekiranya ada di antara rakan komponen yang
melanggar dasar bersama PR.



Kelmarin, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa
parti itu berhak untuk marah kepada DAP kerana menentang perjuangan
parti itu melaksanakan undang-undang Islam.



Mohd Fuad berkata, mengambil kira Kabinet Bayangan DAP, adalah baik
untuk Pas bergerak bersendirian daripada terus duduk dalam PR.



Tambah beliau, Muktamar Pas ke-61 yang akan berlangsung awal bulan
depan adalah medium terbaik bagi mendapatkan kata sepakat sama ada Pas
perlu terus kekal atau tinggalkan PR.



“Walaupun belum menang (tawan Putrajaya), sudah dapat lihat kedudukan Pas itu di mana melalui Kabinet Bayangan yang dibuat.



“Pas juga sering kali diugut dan dikecam DAP susulan mahu meneruskan
agenda perjuangkan Islam terutamadalam isu hudud, sampai bila Pas mahu
terus diugut? Jadi Pas perlu berani buat pendirian kerana Pas sudah
cukup matang untuk bergerak sendiri,” katanya.



Bagaimanapun, katanya walaupun kemelut yang berlaku dilihat semakin
parah, namun PR sukar untuk terbubar sekiranya matlamat mereka masih
sama iaitu menawan Putrajaya.



“Mereka goyah, tapi masih bersama, umpama tidur sebantal mimpi lain-lain,” katanya.



Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr
Sivamurugan Pandian pula berkata, sukar untuk PR bergerak ke hadapan
sekiranya wujud perbezaan antara kepentingan parti dan perjuangan
bersama dalam pakatan yang dibentuk.






“Jika Pas masih terus berpegang dengan perjuangan parti untuk
menegakkan Islam, tetapi DAP pula menentang perjuangan itu, bagaimana
nak terus bersama? DAP tidak boleh salahkan Pas kerana sejak dahulu kita
maklum mengenai perjuangan Pas untuk memperkenalkan hudud dan negara
Islam.



“Ketika ini PR berdepan dengan krisis kepimpinan yang mana PKR perlu
mainkan peranan untuk memastikan gabungan itu terus kekal bertahan
sehingga PRU14,” katanya.



Menurut beliau, masalah yang berlaku boleh diselesaikan sekiranya salah satu parti yang bertelagah keluar daripada PR.



Beliau turut menyifatkan muktamar kali ini sebagai medium terbaik untuk Pas memutuskan pendirian berhubung isu itu.



Bagaimanapun, PR tidak akan terkubur dengan begitu mudah jika serangan
yang berlaku lebih bersifat peribadi seperti yang berlaku kebelakangan
ini.