KUALA TERENGGANU – Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat
mengingatkan mana-mana pihak tidak mencampuri urusan Pas dalam memilih
barisan kepimpinan yang akan menentukan hala tuju parti itu pada masa
depan.





Menurutnya, serangan daripada pihak luar terutama terhadap Presiden
Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memperlihatkan pihak terlibat
seolah-olah mahu mempengaruhi ahli Pas dalam menentukan kepimpinan
menjelang Muktamar Tahunan Pas, bulan depan.



Bagaimanapun beliau yakin keadaan itu tidak akan memberi kesan kepada
Pas dan menegaskan bahawa ahli parti itu lebih tahu siapa yang berhak
untuk menerajui Pas.



“Saya rasa semua bentuk serangan ini hanya berlaku sebelum muktamar untuk calarkan imej presiden.



"Bukan AMK sahaja tetapi juga daripada PKR dan DAP tetapi kita melihat
mutakhir ini pencalonan yang banyak terhadap Tuan Guru (Abdul Hadi),"
katanya.



Kata beliau, kepimpinan Pas yang ada kini sudah lama dan beliau harap
supaya mana-mana pihak jangan campur tangan kerana mereka lebih tahu
siapa untuk dipilih sebagai pemimpin.



Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai beberapa pihak
sebelum ini termasuk AMK yang mendakwa Abdul Hadi sebagai mesra Umno.



Satiful Bahri yang juga Adun Paka turut menjangka bahawa semua bentuk
serangan terhadap Abdul Hadi akan berakhir selepas Muktamar Tahunan Pas
nanti.



Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan bekas Naib Presiden Pas,
Ahmad Awang berhubung kewujudan kumpulan ulama muda untuk mengambil alih
kepimpinan Pas, beliau menyifatkannya sebagai tuduhan melulu.



Menurutnya, perjuangan Pas sudah lama dan ahli Pas juga bukanlah
tergolong daripada mereka yang pendek akal untuk melakukan kegiatan
seumpama itu.



“Ahli Pas bukan tidak cerdik malah mereka juga sudah lama dalam Pas dan
peka siapa sebenarnya yang mahu rosakkan parti,” katanya.



Sebelum ini, Ahmad mengatakan kemunculan kumpulan ulama muda
bercita-cita tinggi dan mahu menguasai sepenuhnya parti Islam itu
sebagai punca kepada kemelut yang melanda pada ketika ini.




Ahmad yang sudah dapat cukup pencalonan untuk melawan Presiden Pas,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu berkata, kumpulan tersebut merasakan
mereka sepatutnya kuasai parti selepas berada dalam kukuh hasil
kerjasama Pas, PKR dan DAP.