KUALA TERENGGANU - Islam bukanlah agama jumud yang menolak hiburan
sebaliknya menerima unsur tersebut selagi ia dilakukan dalam keadaan
tidak melalaikan dan mengikut syarak.



Situasi itulah yang cuba diterapkan kepada orang ramai di negeri ini
sempena Festival Kesenian Islam Dar Negeri Terengganu 1436/2015 anjuran
Dewan Ulama Pas Terengganu di Markaz Tarbiyah Pas Kuala Terengganu di
Kuala Ibai.



Pengarah program, Wan Mohd Faizul Wan Abas berkata, ia juga bertujuan
memperlihatkan bahawa dar atau madrasah yang terlibat dengan festival
tersebut bukan hanya belajar sahaja, sebaliknya turut menerapkan
aktiviti dan kesenian Islam.



“Kita hendak menunjukkan Dar bukan setakat institusi Islam yang belajar
begitu sahaja tanpa ada program dan aktiviti kokurikulum khususnya
aktiviti kesenian itu sendiri.



“Kita hendak tunjukkan bahawa kesyumulan Islam mempunyai aspek hiburan
juga tetapi dengan batas syarak yang telah ditetapkan,” katanya.



Festival tersebut melibatkan tujuh Dar di negeri ini yang ditubuhkan
melalui aktivis Pas dan diselaraskan Dewan Ulama iaitu Darul Ihsan,
Darus Salam, Darul Taqwa Batu Enam, Darul Taqwa Kemaman, Darul Iman,
Darul Bayan dan Sekolah Rendah Agama Bersepadu Zainal Abidin di Dungun.



Program dwitahunan itu turut melibatkan beberapa pertandingan di
peringkat madrasah antaranya tilawah, pidato bahasa Arab dan Melayu
serta khutbah.



Wan Mohd Faizul menjelaskan bahawa festival kali ini bertemakan
perjuangan dan kesemua peserta terutama nasyid perlu menzahirkan unsur
tersebut dalam acara yang disertai.