Monday, 11 May 2015

Skandal 1MDB-Tabung Haji: Najib digesa letak jawatan Menteri Kewangan

Lim Guan Eng



Roketkini.com





KUALA LUMPUR: DAP mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak supaya segera bersuara dan memberikan respon terhadap permintaan
Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan tindakan diambil
terhadap pihak yang terlibat dalam skandal hutang RM42 bilion 1MDB.




Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menegaskan, Najib mesti terbuka,
telus dan bertanggungjawab mengenai skandal ini kerana ia melibatkan
dana awam dalam jumlah yang besar.




“Muhyiddin telah berkata bahawa beliau tidak tahu apa yang hendak
dikatakan, bahkan mengenal pasti 1MDB sebagai salah satu punca kekalahan
UMNO dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh baru-baru ini,”




“Rakyat Malaysia tidak kagum dengan pertunjukan silap mata dana 1MDB
yang lesap, malah lebih menaikkan kemarahan umat Islam pula adalah
bagaimana Lembaga Tabung Haji (LTH) turut terlibat dengan skandal
tersebut dengan membeli tanah di Tun Razak Exchange daripada 1MDB,”




“Najib harus mengadakan sidang media bersama Muhyiddin untuk menjawab
pertanyaan serius yang dibangkitkan oleh timbalannya itu tentang
mengapa tidak ada siapa yang didakwa, mengapa Lembaga 1MDB tidak dipecat
dan kedudukan beliau selaku Penasihat 1MDB,”




“Sebarang kegagalan untuk berbuat demikian bukan saja akan merosakkan
kredibiliti dan integriti yang masih ada pada Najib, malah akan
menimbulkan krisis dalaman berikutan cabaran terbuka daripada Muhyiddin
kepadanya,” tegas Guan Eng.




Ketua UMNO Bahagian Kulim Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dalam
wawancaranya bersama portal The Malaysian Insider pagi tadi telah
mengatakan bahawa sudah tiba masanya untuk Najib bertanya kepada dirinya
sendiri apakah beliau seorang ‘calon boleh menang’ selepas
pentadbirannya dihujani pelbagai kritikan termasuk kontroversi 1MDB
melibatkan Tabung Haji.




Justeru, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mendesak Najib untuk
melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kewangan agar beliau dapat
memberikan tumpuan kepada tugas selaku Perdana Menteri.




“Najib perlu bertanggungjawab sepenuhnya berhubung pengendalian
skandal 1MDB dengan melepaskan jawatan sebagai Menteri Kewangan untuk
menumpukan perhatian kepada tugas sebagai Perdana Menteri.




“Kegagalan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan hanya
akan menambah tekanan kepada beliau untuk melepaskan jawatan sebagai
Perdana Menteri,” ujarnya. -Roketkini.com






No comments:

Post a Comment