Monday, 11 May 2015

Pilihan Raya Kecil : Fix deposit BN di Felda boleh dilebur












Oleh MUHAMMAD NOR ABD SAMAD

MERUJUK
kepada keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) P091 Rompin baru-baru ini,
jelas terbukti bahawa sokongan pengundi yang terdiri daripada
masyarakat Felda, iaitu peneroka-peneroka,
boleh beralih arah, iaitu daripada menyokong parti pemerintah -
Barisan Nasional (BN) - kepada parti pembangkang, yakni Pakatan Rakyat.

Sebelum
ini, masyarakat Felda terkenal sebagai penyokong tegar BN khususnya
Umno sehinggakan golongan ini boleh disifatkan sebagai 'fix deposit'
Umno/BN dalam mengekalkan kuasa pemerintahannya. Sebelum ini, dalam apa
keadaan sekalipun, masyarakat ini terus setia menyokong BN dan ia
cukup menyulitkan pembangkang untuk menang di kawasan-kawasan yang
majoritinya melibatkan golongan ini.

Calon-calon BN selama ini
berasa amat selesa sekiranya kawasan yang ditandinginya melibatkan
pengundi-pengundi terdiri daripada anggota masyarakat Felda. Jaminan
menang buat mereka cukup besar di situ. Justeru BN akan selamanya
meletakkan harapan yang besar kepada golongan ini untuk terus mendokong
mereka, sekali gus membuatkan mereka kekal berkuasa.

Keputusan
PRK Rompin 5 Mei lalu menunjukkan bahawa mitos ini sudah tiba masa untuk
lebur. Peningkatan yang ketara undi masyarakat Felda terutama golongan
mudanya kepada pembangkang perlu diberi perhatian serius oleh Pakatan
Rakyat khususnya PAS yang banyak bertanding di kawasan pendalaman yang
melibatkan penempatan Felda seperti Rompin ini.

Menurut
penganalisis, dalam kempen PRK Rompin, Kesatuan Anak Peneroka Felda
Kebangsaan (Anak), sebuah NGO yang dinaungi PAS, ternyata berjaya
mengetengahkan isu-isu melibatkan masyarakat Felda, seiring isu nasional
seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan 1MDB yang banyak
diperkatakan. Ia memainkan peranan cukup besar meraih undi masyarakat
Felda kepada PAS.

Isu perumahan untuk generasi kedua Felda, isu
gred perahan buah sawit, isu tanam semula, FGV, kelemahan pentadbiran
Felda serta beberapa lagi yang diungkapkan secara kemas, dibantu oleh
beberapa orang bekas pegawai besar Felda, ternyata mendapat perhatian
warga Felda. Natijahnya, PAS mendapat lonjakan jumlah pengundi yang
ketara daripada warga Felda terutama golongan mudanya sehinggakan PAS
menang di Felda Keratong 2 dan 4.

Tidak hairanlah, merujuk
kepada keputusan PRK Rompin itu, biarpun BN menang selesa, Pengerusi BN,
Dato' Seri Najib Razak berkata, BN akan mengkaji dan memberikan
perhatian yang serius terhadap keputusan tersebut. Mengapa tidak,
keputusan tersebut memberi isyarat bahawa Felda tidak lagi selamat untuk
terus dianggap 'fix deposit' buat BN, dan BN perlu berbuat sesuatu jika
mahu mengekalkan sokongan warga berkenaan. Jika tidak, pada pilihan
raya akan datang, peluang buat pembangkang semakin cerah.

Keputusan
PRK Rompin ini perlu menjadi suntikan buat Pakatan Rakyat khususnya PAS
bahawa, Felda yang menjadi sebahagian daripada 'power base' BN itu
boleh diruntuhkan jika usaha yang tepat dan berterusan dijalankan serta
dipertingkatkan.

Dalam hal ini, Pakatan Rakyat, khususnya PAS
perlu memperkasakan Anak supaya NGO tersebut dapat bergerak selesa dan
terbantu dalam usaha mengetengahkan isu-isu yang membabitkan warga
Felda. Operasi memberi kesedaran kepada warga Felda perlu digembeling
secara profesional dan tumpuan harus diberikan kepada golongan mudanya
yang lebih terbuka dan bermaklumat.

Program pendedahan
kepincangan pengurusan serta pentadbiran, perbincangan mengenai masa
depan generasi kedua Felda harus kerap diadakan dan perlu melibatkan
golongan muda Felda yang bermaklumat. Isu-isu 'bread and butter'
golongan ini perlu diketengahkan dan pembangkang mesti dilihat mengongsi
masalah yang mereka hadapi serta bersedia menawarkan pembelaan.

Kesemuanya
perlu dilakukan secara berterusan sehingga menjelangnya Pilihan Raya
Umum ke-14 (PRU14) nanti. Jika semua ini dilakukan, BN khususnya Umno
akan berhadapan dengan mimpi yang sangat menakutkan.

No comments:

Post a Comment