Mesyuarat EXCO telah bersetuju supaya semua PBT memulangkan semula GST yang telah dikutip untuk tempoh dua minggu pertama April.
PETALING JAYA: Kerajaan Johor telahpun mengarahkan 16 pihak berkuasa
tempatan (PBT) di negeri itu untuk tidak mengenakan Cukai Barangan dan
Perkhidmatan (GST) bagi semua perkhidmatan kepada rakyat.
EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Latiff Bandi
berkata, semua PBT di negeri itu telah menyerap GST bagi setiap
perkhidmatan kepada rakyat selepas dua minggu cukai itu diperkenalkan,
lapor The Star Online.
Katanya, berdasarkan anggaran, kerajaan negeri akan mengutip RM3 juta
setahun menerusi GST yang dikenakan oleh PBT bagi perkhidmatan sewaan,
bayaran meletak kenderaan, yuran proses dan menukar hak milik dan jenis
kegunaan.
‘Kerajaan Negeri akan menyerap GST dan membayar balik kepada Jabatan
Kastam untuk elak rakyat menanggung beban,” katanya pada Majlis Sambutan
Ulangtahun ke-14 Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) pada
Ahad.
Baru-baru ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan
Iskandar menyifatkan langkah mengenakan GST terhadap perkhidmatan
kerajaan sebagai tidak masuk akal.
Abdul Latif berkata, mesyuarat EXCO juga telah mengarahkan semua PBT
memulangkan semula GST yang telah dikutip untuk tempoh dua minggu
pertama April.
Katanya, pemintaan supaya pengecualian GST bagi semua perkhidmatan
kerajaan telah disampaikan kepada Menteri Kesejahteraan Bandar dan
Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan ketika pertemuan UMNO
dengan Perdana Menteri pada Jumaat lalu.
“Kerajaan Johor telah meminta supaya semua perkhidmatan PBT kepada
rakyat dikecualikan GST dan beliau (Abdul Rahman) memberi jaminan akan
membawa perkara ini dalam Mesyuarat Kabinet,” katanya.
No comments:
Post a Comment