Friday, 15 May 2015

Najib dan Hadi, sama-sama tertekan







Kepimpinan ulama dalam Pas memerlukan sokongan UMNO untuk memastikan ia terus berkuasa dalam parti itu.





zam,hadi,najib








PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk
Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kini
berdepan dengan situasi yang hampir sama.





Ketika Najib cuba mendapatkan sokongan daripada pimpinan dan akar
umbi selepas pentadbirannnya dikritik hebat oleh bekas Perdana Menteri,
Tun Dr Mahathir Mohamad dan para penyokongnya, situasi yang hampir sama
turut dirasai Abdul Hadi.




Kedudukan beliau sebagai Presiden Pas yang mewakili kepimpinan ulama,
turut berdepan dengan ujian selepas jawatan itu digugat Datuk Ahmad
Awang pada Muktamar Pas ke-61, Jun ini.




Kewibawaannya bukan setakat dicabar kumpulan yang dianggap sedarhana
dalam parti malah, sekutunya dalam Pakatan Rakyat (PR), khususnya DAP
tidak henti-henti memberi ugutan dan kata dua.




Sekiranya pemilihan terus memihak kepada ulama, ia mendesak parti itu keluar sahaja dari pakatan.


Bagaimanapun, jika kumpulan yang dianggap sedarhana dipilih meneraju
kepimpinannya pada 4 hingga 6 Jun ini, ia bermakna hayat Pas dalam PR
akan lebih panjang.




Sama ada mengancam atau diancam, DAP melihat keputusan Muktamar memberi kesan besar kepada parti itu.




Isu hudud telah menjadi penyelamat kepada kepimpinan ulama Pas dan ia
telah berjaya membina semula keyakinan pengikut tegarnya bahawa
kumpulan berkenaan sama sekali tidak akan bertolak ansur.




Sokongan terhadap pelaksanaan undang-undang Islam itu turut datang
dari luar termasuk termasuk di kalangan ahli dan pemimpin UMNO sendiri.




Memetik tulisan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin di
laman blognya, zamkata.blogspot.com, Pas yang telah mengorbankan konsep
Negara Islam yang menjadi idea perjuangannya selama ini dan
menggantikan dengan konsep Negara Kebajikan selepas menyertai PR,
terpaksa kembali kepada isu hudud.




“Mereka berundur ke belakang dan menemui kembali hudud yang dilihat
sebagai penawar paling mujarab untuk memulihkan semangat
penyokong-penyokongnya dan memperbaiki semula pandangan umat Islam
terhadapnya.




“ UMNO yang berada dalam keadaan lemah merasa perlu untuk memberikan
sokongan kepada pemulihan imej Pas ini walaupun menentang hudud Pas di
bawah pimpinan Perdana Menteri Dr.Mahathir”, komennya di blog berkenaan.




Selepas sebahagian anggotanya dikatakan terpengaruh dengan idealogi
kumpulan sedarhana, hudud dilihat berjaya membina semula keyakinan
kumpulan ulama bahawa mereka masih mendapat sokongan dan ketegasan untuk
melaksanakannya telah menaikkan semula nama Abdul Hadi dan sekutunya.




Sebagai orang lama, Ahli Parlimen Marang itu juga dilihat bijak bermain politik.




Ketika mana pemimpin PR yang lain mendesak Najib berundur, Abdul Hadi
mengambil pendekatan berbeza dengan meminta beliau untuk meneruskan
tugasnya sebagai Perdana Menteri.




Mungkinkah gambar yang terpampang dengan tajuk utama sokongan beliau
yang disiarkan akhbar arus perdana mempunyai maksud tersirat atau
isyarat bahawa dalam keadaan sekarang mereka memerlukan satu sama lain
untuk terus berkuasa?


No comments:

Post a Comment