Roketkini.com
TAWAU: Peruntukan bernilai RM600 juta untuk membiayai operasi
Pusat Kawalan Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM) boleh dianggap sia-sia
apabila kes penculikan terus berlaku.
Timbalan Pengerusi DAP Sabah Chan Foong Hin keadaan itu tidak boleh
diterima kerana jumlah peruntukan yang diberi kepada ESSCOM meningkat
ketara pada tahun ini.
“Esscom dapat kenaikan bajet berbanding RM75 juta pada tahun lepas
namun dana itu gagal dibelanjakan sewajarnya untuk menjaga keselamatan
awam apabila kes penculikan terus berlaku,” katanya.
Kelmarin, dua warga Sandakan dilaporkan diculik sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah restoran popular di tepi pantai Sabah.
Menurut laporan, empat lelaki bersenjata senapang automatik manakala
yang lainnya menggunakan pistol memecah masuk restoran tersebut.
Ia bukanlah kejadian pertama seumpamanya belaku.
Tahun lalu, kes serupa berlaku di Lahad Datu melibatkan seorang warga
China. Walaupun pihak ESSCOM sempat mengejar dan berlaku adegan
tembak-menembak, kumpulan penculik itu akhirnya meloloskan diri.
Kata Foong Hin, penduduk Sabah terutamanya di bahagian timur biasanya
melihat ESSCOM sebagai pasukan keselamatan yang sering menangkap
pendatang asing tanpa izin (PATI) berbanding tugas sebenar mereka
menjaga sempadan.
Justeru, Foong Hin yang juga ADUN Sri Tanjong mempersoalkan tindakan
susulan ESSCOM terhadap operasi tangkapan PATI yang banyak dilakukan.
“Adakah mereka yang ditahan kem-kem tahanan dihantar pulang ke
Filipina atau dibebaskan selepas beberapa pegawai penguatkuasa
dirasuah?,” katanya. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment