Oleh STEPHEN WONG
Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Sabah hanya sebuah
gimik politik semata-mata dan tidak langsung memberi keyakinan dan
harapan kepada rakyat Sabah.
Bagi pendapat saya, rakyat Sabah seolah-olah dihina apabila Najib
mengulangi kenyataan ‘Sabah masih deposit tetap BN’ ditambah pula dengan
pujian melangit Menteri Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan
Kerajaan Tempatan Datuk Rahman Dahlan kepada Najib sebagai ‘hanya
satu-satunya’ Perdana Menteri yang banyak menyumbang kepada pembangunan
Sabah. Saya ingin buktikan bahawa kenyataan ini tidak benar dan
mengelirukan.
Lihat sahaja apa yang berlaku di Matunggong baru-baru ini seperti
yang dilaporkan laman-laman web media tempatan, penduduk kampung tidak
mampu untuk membayar kos sambungan dan deposit untuk menikmati bekalan
air bersih dan terpaksa bergantung kepada sungai yang semakin surut.
Sungai itu juga dilaporkan keruh dan tidak bersih untuk digunakan
tetapi penduduk kampung tiada pilihan lain. Perkara ini sangat ironi
kerana ia berlaku di dalam kawasan Menteri Teknologi Hijau, Tenaga dan
Air Datuk Seri Maximus Ongkili. Ia juga masih berlaku semasa PM
melakukan lawatan ke Kota Belut yang mana sangat hampir dengan Kota
Marudu dan Matunggong.
Ini hanya salah satu kegagalan kerajaan BN dalam menyediakan
keperluan asas bagi rakyat Sabah. Selain Matunggong, terdapat banyak
lagi kampung di kawasan pedalaman dan luar Bandar Sabah yang menderita
akibat kurangnya infrastruktur dan terpaksa bergelut demi mendapatkan
bekalan air bersih dan elektrik.
Saya ingin mengingatkan Najib walaupun telah enam tahun manjawat
jawatan sebagai Perdana Menteri, Sabah masih merupakan negeri yang
mempunyai bilangan penduduk miskin teramai malah banyak janji-janji
pembangunan yang masih belum terlaksana.
Misalnya janji sejak 17 tahun lalu untuk membina jalan bagi penduduk
kampung di Pitas sehinggalah DAP melalui Impian Sabah menjalankan usaha
memungut sumbangan untuk membantu penduduk kampung merealisasikan impian
mereka.
Dalam perkara lain, bagi Rancangan Malaysia ke-10, kerajaan telah
menyasarkan untuk menyediakan 99% bekalan elektrik kepada kawasan
pedalaman Sabah manakala 98% pula bagi bekalan air terawat kepada isi
rumah di kawasan pedalaman Sabah. Kerajaan juga telah berjanji untuk
membina jalan sepanjang 2,540km di kawasan luar bandar dan pedalaman
Sabah.
Jika Najib benar-benar ikhlas dengan apa yang diucapkan minggu lalu
di Sabah dimana beliau berasa terhutang budi dan mahu membalasnya,
beliau perlu menjawab sama ada semua janji-janji ini telah terlaksana.
Selain terus bermain wayang dan terus bertelingkah di dalam UMNO yang
menyebabkan rakyat Sabah dan seluruh Malaysia menjadi mangsa, Najib
perlu memberi perhatian kepada Sabah secara serius dan membantu untuk
menyelesaikan masalah mereka seperti infrastruktur yang lemah dan
kemiskinan, bukan hanya sekadar mengadakan lawatan dengan tangan kosong.
(^) Stephen Wong Tien Fatt
Timbalan Pengerusi DAP Sabah dan Ahli Parlimen Sandakan
No comments:
Post a Comment