Presiden PKR berkata Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin bersedia menggadaikan sensitiviti rakyat demi menyelamatkan 1MDB.
PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menolak kemungkinan
kerajaan Barisan Nasional (BN) mencetak lebih banyak wang bagi
menanggung hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Datuk Seri
Najib Tun Razak mungkin bersedia menggadaikan sensitiviti rakyat demi
menyelamatkan 1MDB.
“Tidak mustahil mereka (Najib) sanggup mencetak lebih banyak wang
untuk membiayai hutang 1MDB setelah segala dana rakyat habis digunakan
nanti.
“Sekiranya dilakukan demikian, maka nilai Ringgit Malaysia akan susut
ke tahap yang lebih rendah dan rakyat yang menanggung tekanan
memandangkan banyak bahan keperluan asas rakyat Malaysia diimport,”
katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Wan Azizah berkata, satu demi satu kepincangan dikesan dilakukan demi menyelamatkan anak syarikat milik kerajaan itu.
“Saya kesal dengan sikap kerajaan. Sudahlah pendapatan rakyat yang
tidak meningkat dirompak oleh kerajaan menerusi beban GST, duit simpanan
untuk masa depan rakyat (LTH, KWAP) pula digunakan sewenang-wenangnya
untuk menyelamatkan 1MDB yang hanya menguntungkan kroni,” katanya.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, berharap Bank Negara Malaysia (BNM)
bertindak menentang perbuatan yang boleh menyebabkan penyusutan nilai
ringgit demi mempertahankan mata wang negara.
No comments:
Post a Comment