KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Jawatan Presiden Pas,
buat pertama kali akan dipertandingkan yang menyaksikan pertembungan
tiga penjuru di antara tiga pemimpin utama parti itu.
Penyandang jawatan tersebut, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka
bakal ditentang bekas Naib Presiden, Ahmad Awang dan Naib Presiden,
Datuk Husam Musa.
Namun, pertandingan tiga penjuru ini hanya akan berlaku sekiranya
calon-calon yang disenaraikan layak bertanding menerima pencalonan
tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat, Asmuni Awi dalam sidang
media hari ini memberitahu, dua calon yang layak ini perlu menghantar
borang persetujuan kepada beliau selewatnya 19 Mei ini.
Menurut Asmuni, seorang lagi calon yang dicalonkan tidak layak bertanding kerana hanya mendapat satu pencalonan sahaja.
"Kalau nama tak ada dalam senarai ini maksudnya dia dapat satu
pencalonan. Kalau lebih dari satu pencalonan, saya letak di sini (dalam
senarai)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya kemungkinan satu lagi nama yang
dicalonkan adalah Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Sementara itu, jawatan bagi Timbalan Presiden Pas, empat calon
disenaraikan layak iaitu penyandang, Mohamad Sabu; Tuan Ibrahim;
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Husam.
Manakala dua belas calon layak bertanding bagi jawatan Naib Presiden
antaranya Tuan Ibrahim, Husam, Salahuddin Ayub, Datuk Mahfuz Omar, Mohd
Amar, Nasaruddin Hassan, Datuk Iskandar Abdul Samad, Mohamad Sabu dan
Dzulkefly Ahmad.
Menurut Asmuni, mana-mana calon yang dicalonkan untuk lebih daripada
satu jawatan, boleh bertanding kesemua jawatan tanpa ada had jumlah
jawatan yang dipertandingkan.
Kesemua calon perlu mengemukakan jawapan kepada pihaknya melalui pos
atau serahan tangan selewat-lewatnya 19 Mei dan cara serahan lain tidak
akan dilayan.
No comments:
Post a Comment