Minyak masak tiada logo halal Minyak yang tidak tertera logo halal.










KLUANG - Umat Islam di daerah ini dinasihatkan agar berhati-hati ketika
membeli minyak masak yang dikeluarkan sebuah syarikat berikutan tiada
logo halal dipamerkan pada produk keluarannya.



Pembantu Pejabat Hal Ehwal Pengguna daerah Kluang, Abdul Hamid Dahlan
berkata, pihaknya memandang berat kes tersebut dan mahu satu tindakan
segera diambil berikutan ketiadaan logo halal pada minyak masak itu.



Jelasnya, ketiadaan logo halal pada produk tersebut boleh menimbulkan rasa khuatir mengenai statusnya dalam kalangan pengguna.



“Minyak masak tersebut dijual dengan harga sama seperti minyak masak lain, cuma bezanya ia tak ada logo halal.



“Sama ada tersilap cetak atau benar-benar tidak halal, tindakan
penjualan secara terbuka seperti ini pasti akan mengelirukan orang ramai
terutama jika tidak meneliti pelekat botol tersebut.



“Diharapkan pihak berkaitan dapat memantau perkara ini, seterusnya
mengelakkan umat Islam di daerah ini tidak terbeli minyak ini,” katanya.



Abdul Hamid berkata, sejurus menerima laporan daripada seorang suri
rumah, pihaknya mengunjungi kedai berkenaan dan mendapati minyak masak
itu memang dijual tanpa logo halal serta diletak sebaris dengan minyak
lain yang mempunyai logo halal.



Sementara itu, Pentadbir Agama Daerah Kluang, Pegawai Tadbir Agama
Daerah Kluang, Mohd Khalil Mohd Noor ketika dihubungi berkata, syarikat
terbabit boleh mendapatkan sijil logo halal bagi mengeluarkan produk
tersebut.



Katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak mempunyai
masalah untuk mengeluarkan sijil halal sekiranya permohonan diajukan.



“Terpulang kepada syarikat tersebut, ia tidak menjadi kesalahan kerana
hak penjualan adalah milik mereka, manakala pembeli boleh menentukan
sama ada untuk membeli atau tidak minyak tersebut.



“Jika mereka merasa yakin bahawa minyak masak itu halal mereka pasti
akan tetap menggunakannya begitu juga sebaliknya, oleh itu semuanya
terpulang kepada pembeli.



“Masyarakat Islam khususnya harus peka dengan tanda halal sekiranya mahu membeli satu-satu produk,” katanya.