Wanita buka baju dituduh tak bayar minuman Aksi wanita berkenaan yang berjaya dirakam










KUALA LUMPUR - Selepas lapan hari ditahan di Penjara Kajang, wanita
yang menanggalkan bajunya di Jalan Petaling baru-baru ini dibebaskan
dengan ikat jamin oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.



Majistret Siti Radziah Kamarudin membenarkan Persana Avril Sollunda, 33, diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.



Mahkamah juga mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu
melaporkan diri di mana-mana balai polis berhampiran setiap dua minggu
sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.



Siti Radziah juga memerintahkan Persana Avril, yang berasal dari Sabah,
tidak meninggalkan Semenanjung Malaysia sehingga kesnya selesai.



Tertuduh yang memakai kot hitam labuh, skirt pendek dan kasut but diikat jamin oleh adik lelakinya.



Sebelum prosiding bermula, tertuduh yang merupakan seorang pekerja spa
kelihatan gembira dan berbual-bual dengan seorang tertuduh lain yang
berada bersamanya di kandang tertuduh.



Pada 28 April lalu, Persana Avril yang juga model sambilan didakwa di
Mahkamah Majistret kerana menanggalkan baju di khalayak ramai apabila
gagal

membayar selepas makan di sebuah kedai nasi ayam.



Gambarnya tanpa baju dan coli dirakam dan disebar di laman sosial dan menjadi viral.



Pada hari itu mahkamah tidak menetapkan sebarang jaminan terhadap wanita itu kerana tiada penjamin yang hadir.



Dia didakwa terhadap pertuduhan melakukan perbuatan lucah di tempat
awam, di Jalan Petaling, di sini pada 2.07 petang, 23 April mengikut
Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum
tiga bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.



Mahkamah juga membacakan sekali lagi pertuduhan terhadap Persana Avril.



Wanita itu mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya selepas pertuduhan itu dijelaskan oleh peguamnya Muhammad Nor Izzat Nordin.



Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi menawarkan RM10,000
dengan dua penjamin atas alasan kemungkinan tertuduh akan meninggalkan
Semenanjung Malaysia tetapi Nor Izzat memohon mahkamah menurunkan
jaminan itu kepada RM1,000 kerana kesalahan yang dilakukan anak guamnya
adalah kecil.



Beliau berhujah prinsip ikat jamin bukan untuk menghukum tertuduh
sebaliknya untuk memastikan dia hadir ke mahkamah untuk perbicaraan
seterusnya.



Mahkamah menetapkan 29 Mei untuk sebutan semula kes. - Bernama