SINAR HARIAN
PASUKAN badminton negara akan menjadi perhatian pada
Kejohanan Piala Sudirman di Dongguan, China, bermula esok, dengan
kehadiran semula Datuk Lee Chong Wei selepas penggantungannya selama
lapan bulan.
Biarpun menghadapi laluan sukar dalam kejohanan berpasukan campuran itu
namun gaya persembahan dan kekuatan mental Chong Wei akan menarik
perhatian apabila membuka langkah dengan menentang juara hatrik, Korea
Selatan, esok.
Piala Sudirman merupakan kejohanan pertama Chong Wei selepas menjalani
hukuman penggantungan atas kesalahan doping pada Ogos, tahun lepas.
Selaku ketua pasukan, Chong Wei, bekas pemain nombor satu dunia dan
kini merudum pada kedudukan ke-46, dijangka berdepan dengan pemain
nombor lima dunia, Son Wan Ho, pada aksi pembukaan Kumpulan 1D esok.
Berdasarkan rekod lapan kali pertemuan, pemain Korea Selatan berusia 26
tahun itu hanya sekali berjaya menewaskan Chong Wei iaitu pada
Kejohanan Terbuka India 2012.
Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri
Mohamad Norza Zakaria yakin dengan tahap kecergasan Chong Wei selepas
pemain itu tidak berhenti daripada meneruskan latihan dalam tempoh
penggantungan.
Beliau mengakui Korea Selatan memiliki kekuatan seimbang dan agak sukar
untuk melepasi pasukan itu malah berharap skuad negara dapat menewaskan
India pada pertemuan Isnin ini untuk melangkah ke suku akhir.
Malaysia diundi bersama Korea Selatan dan India dalam kumpulan 1D dan
skuad negara perlu menang satu perlawanan untuk mara ke suku akhir.
Selain Chong Wei, seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei menduduki ranking ke-187 dunia.
Skuad beregu lelaki, Goh V.Shem/Tan Wee Kiong menduduki ranking ke-29
dunia, Teo Kok Siang/Mak Hee Chun (85), pemain perseorangan wanita, Tee
Jing Yi (56), Lim Yin Fun (111).
Beregu wanita Vivian Hoo/Woon Khei Wei (11), Amelia Alicia
Anscelly/Soong Fie Choo (25) dan beregu campuran, Wong Fai Yin/Chow Mei
Kuan (47) dan Chan Peng Soon/Goh Liu Ying menduduki ranking ke-70 dunia.
Berdasarkan ranking semasa, Korea memiliki kelebihan apabila barisan pemain itu berada dalam ranking 10 terbaik dunia.
Selain Wan Ho, seorang lagi pemain perseorangan lelaki ialah Lee Hyun
Il yang menduduki ranking ke-16 dunia manakala beregu lelaki, Lee Yong
Dae/Yoo Yeon Seong merupakan beregu nombor satu dunia diikuti Gi Jung
Kim/Kim Sa Rang (9).
Dalam acara perseorangan wanita, Korea mempertaruhkan Sung Ji Hyun yang
menghuni ranking ketujuh dunia dan pemain ranking ke-13 dunia, Bae Yeon
Ju.
Dalam acara beregu wanita, Korea akan membariskan Lee So Hee/Shin Seung Chan (8) dan Chang Ye Na/Kim So Yeong (13).
Dalam acara beregu campuran, Korea memilik gandingan nombor lapan
dunia, Ko Sung Hyun/Kim Ha Na dan Shin Baek Choel/Chang Ye Na (37).
Pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan dwitahunan itu ialah
melangkah ke separuh akhir dan berkongsi tangga ketiga bersama Indonesia
pada edisi 2009 di Guangzhao, China manakala pencapaian tercorot
apabila tewas peringkat kumpulan ketika menjadi tuan rumah pada edisi
2013.
Kejohanan berpasukan campuran itu melibatkan 35 pasukan yang
dibahagikan kepada empat kumpulan dengan 12 pasukan ranking terbaik
disenaraikan dalam Kumpulan 1, yang dibahagikan kepada empat kumpulan
kecil.
Sebanyak 12 pasukan ranking terbaik akan bersaing untuk merebut trofi
kejohanan manakala pasukan dalam kumpulan 2, 3 dan 4 akan bertanding
untuk memperbaiki ranking masing-masing.
Penyandang juara China, mendapat undian agak baik dan dijangka berdepan
laluan mudah apabila diundi bersama Jerman dan Thailand dalam kumpulan
1A.
Kuasa besar badminton dunia itu muncul juara sebanyak sembilan kali
iaitu pada 1995, 1997, 1999, 2001, 2005, 2007, 2009, 2011 dan 2013.
Sementara juara Piala Thomas tahun lepas, Jepun diundi bersama Taiwan
dan Amerika Syarikat dalam 1B manakala Denmark, Indonesia dan England
dalam Kumpulan 1C. - Bernama
No comments:
Post a Comment