KUALA LUMPUR: Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) hari ini berkata akaunnya diaudit oleh syarikat audit antarabangsa, Deloitte.
Dalam satu kenyataan, katanya Deloitte tidak mempunyai sebarang masalah
dengan akaun 2013 dan 2014 1MDB. Begitu juga KPMG yang tidak mempunyai
masalah dengan akaun 2010, 2011 dan 2012 1MDB.
"Lembaga Pengarah mengambil serius fitnah dan tuduhan yang berniat jahat
dan mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang," kata
syarikat pembangunan strategik itu.
Ketika ini, Lembaga Pengarah dan Pengurusan 1MDB bekerjasama dengan
Ketua Audit Negara, Polis Diraja Malaysia dan Jawatankuasa Kira-Kira
Wang Negara untuk melaksanakan penilaian terhadap syarikat tersebut.
Khususnya, Ketua Audit Negara sedang menjalankan penilaian bebas terhadap akaun 1MDB, seperti dipersetujui Kabinet Malaysia.
"Sehubungan itu, kami meminta kesabaran dan pemahaman orang ramai dan pihak yang berminat supaya menunggu hasil penilaian itu.
"Kami meminta agar tiada mana-mana pihak yang akan menilai perkara itu
tanpa fakta menyeluruh sebelum penilaian diumumkan kepada orang ramai.
"Kami mempunyai keyakinan penuh terhadap Deloitte dan Ketua Audit
Negara, begitu juga pemegang saham kami, Menteri Kewangan
Diperbadankan," katanya.
Lembaga Pengarah memberi jaminan bahawa jika terdapat penemuan yang
bercanggah, ia akan mengambil langkah dan tindakan yang
bertanggungjawab.
No comments:
Post a Comment