GEORGE TOWN: Sesi
penggulungan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman
Abbas hari ini 'panas' dengan pertikaman lidah antara Ketua Menteri, Lim
Guan Eng dan Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid serta Muhamad Farid
Saad (BN-Pulau Betong).
Lim berkata kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM70 juta untuk tujuan pembangunan di kawasan Permatang Pauh.
"Kami tidak menyokong budaya peruntukan lima tahun sekali yang diamalkan
oleh BN," katanya dalam ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri di
sini, Jumaat.
Namun, Jahara (BN-Teluk Air Tawar) mempersoalkan jika apa yang dikatakan
itu betul, mengapakah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti, Dr
Norlela Ariffin perlu menbentangkan usul untuk membantu rakyat kawasan
berkenaan.
"Mengapa Penanti boleh menyatakan beliau 'stress' (tertekan) kerana usul-usul kepentingan rakyat kawasan itu ditolak," katanya.
Lim pula menjawab Jahara tidak harus 'berdrama' kerana Adun Penanti
bukan 'stress' tetapi mendapat penyakit Leptospirosis yang menyebabkan
beliau tidak dapat hadir persidangan dewan.
Muhamad Farid yang mencelah berkata beliau simpati dengan keadaan Adun
Penanti tetapi turut mempersoalkan kenapa Adun Penanti perlu membuat
usul itu jika kerajaan negeri telah memperuntukkan jumlah yang besar
untuk warga kawasan tersebut.
"Bukan kami yang menuduh, Penanti sendiri yang menyatakan beliau stress
dalam akaun Facebooknya selepas usulnya ditolak," katanya.
Speaker Datuk Law Choo Kiang terpaksa menenangkan keadaan dengan
memberitahu dewan bahawa usul Penanti ditolak kerana masalah yang
dibangkit adalah masalah yang sama.
"Penanti kemukakan empat soalan bertulis dan satu soalan lisan yang
merupakan masalah yang sama dan telah dijawab. Saya menulis kepada
Penanti sebab usul itu ditolak kerana isu ini telah disalah tafsir,"
katanya.
Norlela dalam akaun Facebooknya mendakwa dibuli kerajaan negeri apabila
semua usul untuk kepentingan rakyat yang ingin dibentang dalam
persidangan DUN kali ini ditolak.
No comments:
Post a Comment