SINAR HARIAN
ROMPIN - Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin
hari ini tamat, selepas 32 pusat pengundian ditutup pada 5 petang sejak
dibuka 8 pagi tadi.
Jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata empat pusat mengundi telah ditutup pada 2 petang.
Tiga daripadanya di Pulau Tioman yang melibatkan Sekolah Kebangsaan
Juara dengan 171 pengundi berdaftar, Balai Raya Kampung Genting (142
pengundi) dan Sekolah Kebangsaan Mukut (136 pengundi) serta Sekolah
Kebangsaan Denai di Kuala Rompin yang mempunyai 170 pengundi berdaftar.
Sebuah lagi pusat mengundi di Pulau Tioman iaitu Sekolah Menengah
Kebangsaan Tekek (651 pengundi) ditutup pada 3 petang, dan pusat
mengundi Dewan Stesen Mardi, Muadzam Shah untuk kawasan Bukit Ridan
dekat sini yang mempunyai 312 pengundi, ditutup pada 4 petang.
Proses penjumlahan undi diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebelum ini berkata
kedudukan pusat pengundian yang jauh dan kawasan Parlimen Rompin yang
besar iaitu sebesar Negeri Sembilan dan Melaka, menyebabkan keputusan
PRK itu dijangka diumumkan seawal 11 malam ini.
Sementara itu, hujan lebat berlaku di beberapa kawasan Parlimen Rompin petang ini setelah cuaca cerah sepanjang pagi tadi.
Cuaca baik pada sebelah pagi itu membolehkan proses pengundian berjalan lancar hari ini.
PRK Rompin yang merupakan PRK kesembilan selepas pilihan raya umum
lepas, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan
Nasional (BN), Datuk Hasan Arifin dan calon Pas, Nazri Ahmad bagi
mengisi kekosongan kerusi itu selepas kematian penyandangnya Tan Sri Dr
Jamaluddin Jarjis.
Jamaluddin yang juga pengerusi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA)
meninggal dunia pada 4 April lepas akibat nahas helikopter di Semenyih,
Selangor. - Bernama
No comments:
Post a Comment