PRK ROMPIN Grafik Sinar Online










SHAH ALAM - Kerajaan disarankan lari daripada mengguna strategi
melaksanakan atau meluluskan sebarang projek pembangunan menjelang
pilihan raya kerana ia memberi imej yang tidak baik kepada parti
pemerintah.



Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak
(Unimas), Dr Jeniri Amir berkata, mungkin pembangunan telah dirancang
awal namun apabila ia diumumkan menjelang pilihan raya, timbul persepsi
negatif di kalangan rakyat.



“Kerajaan mengatakan isu ini telah dibincangkan sebelum PRK Rompin.
Cuma, yang menjadi persoalan kini adalah kenapa umum sekarang? Kenapa
tidak sebelum pilihan raya ini.



“Ini menyebabkan pengumuman yang dibuat kerajaan itu terpaksa dikaitkan
dengan pilihan raya dan sebagai salah satu strategi untuk memenangkan
hati rakyat. Sama ada ia betul atau tidak, ini soal ‘timing’ iaitu umum
menjelang pilihan raya kecil ini,” katanya kepada Sinar Online.



[ARTIKEL BERKAITAN: Rumah RM90,000 untuk generasi baharu Felda]



Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan
harga RM90,000 untuk pembelian rumah secara jual-beli kepada generasi
baharu Felda di Parlimen Rompin, berbanding harga asal RM125,000 yang
ditawarkan sebelum ini.



Dalam pada itu, Dr Jeniri juga berpendapat, sebarang pembangunan atau
projek diluluskan menjelang pilihan raya akan lebih dilihat demi
kepentingan politik semata-mata.



“Dari segi jangka panjang, sudut pembangunan negara, perancangan atau pelaksanaan pembangunan secara ‘adhoc’ ini tidak baik.



“Kerana bukan sahaja menyebabkan kerajaan itu dilihat tidak
melaksanakan sesuatu projek itu dengan terancang tetapi melaksanakan
sesuatu projek itu demi kepentingan politik. Pembangunan itu sepatutnya
kerana keperluan penduduk setempat bukan atas dasar kepentingan
politik,” katanya.



Sementara Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal
Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Abdul Halim Sidek
berkata, kerajaan menggunakan pentas PRK Rompin itu sebagai platform
untuk mengumumkan penurunan harga itu yang telah pun dirancang sebelum
ini.



“Kerajaan sudah maklumkan bahawa perancangan itu memang telah ada cuma tidak diumumkan lagi dan peluang ini diambil untuk umum.



“Tidak adil kalau kita kata ini (umum turun harga) sebagai gula-gula BN
sebab ia memang projek sedia ada tapi belum diumumkan lagi,” katanya.