Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Keputusan Majlis Tertinggi UMNO mempertahankan
Presidennya Datuk Seri Najib Razak, menjadi petunjuk bahawa tidak ada
harapan lagi untuk UMNO berubah.
Demikian ulasan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berikutan
sikap Najib yang juga Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan terus
berdiam diri terhadap usaha-usaha menyelamatkan 1MDB yang kini
menanggung hutang berjumlah RM42 bilion.
“Sudah begitu banyak bukti yang menunjukkan Jho Low telah
menggelapkan berbilion ringgit yang dipinjam 1MDB ke dalam akaun
syarikatnya sendiri. Pun begitu, Najib terus menegaskan bahawa Jho Low
tidak terlibat, dan Majlis Tertinggi UMNO pula menyokongnya.
“Ini menunjukkan pemimpin-pemimpin UMNO semuanya adalah perkumpulan hipokrit yang laparkan kuasa,” jelas Tony.
Pendedahan terbaru usaha menyelamatkan 1MDB dengan pembelian aset
tanah Tun Razak Exchange (TRX) oleh Lembaga Tabung Haji baru-baru ini
menyebabkan ramai pimpinan UMNO turut menekan Najib.
Mereka termasuklah Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Ketua
Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin, Naip Presiden Umno Datuk Shafie Apdal,
malah sepupu Najib sendiri Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang juga
Menteri Pertahanan turut menuntut supaya juruaudit antarabangsa dilantik
bagi menyiasat 1MDB.
Namun, mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO semalam sempena ulang tahun
UMNO ke-69 menunjukkan semua pimpinan UMNO yang sebelum ini mengkritik
Najib telah membuat pusingan ‘U’ dengan mempertahankan kepimpinan Najib
Razak pula.
“Rakyat tidak boleh mengharapkan UMNO ubah DNA mereka,” ujar Tony yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP.
“Satu-satunya harapan yang ada ialah sekiranya UMNO terus berkuasa,
korupsi, salah guna kuasa dan ketidakmampuan mentadbir bukan sahaja
terus dibiarkan, bahkan UMNO akan terus merajalela dan semakin
mengganas, seperti yang mereka lakukan sejak era Mahathir lagi” Tegas
Tony. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment