Tuesday, 12 May 2015

Umno Kini Ketandusan Pejuang Tulin








Oleh Abu Hassan Adam





Jikalau mahu ditafsirkan bahawa keadaan UMNO kini berada pada kedudukan paling genting disebabkan
masalah yang dihadapi oleh Presidennya DS Mohd Najib Tun Razak, maka
aku merasakan bahawa UMNO sudah beberapa kali mengahadapi kegentingan
yang sedemikian.



Perletakan jawatan Dato Onn Jaafar
sebagai Presiden UMNO pertama pada tahun 1950 sudah merupakan peristiwa
yang cukup malang bagi UMNO pada ketika itu. Namun peristiwa itu juga
menampakkan ketegasan kedua-dua pihak bagi menegakkan prinsip
perjuangan masing-masing.



Dato Onn bertegas untuk membuka
keahlian UMNO kepada bukan Melayu sedangkan ahli UMNO masih terus
berpaut kepada prinsip bahawa UMNO adalah untuk orang Melayu dan tidak
membenarkan kaum lain menganggotai UMNO. Lantas Dato Onn meletakkan
jawatan dan keluar dari UMNO. Hebat perjuangannya.



UMNO
menghadapi satu lagi ujian paling getir pada awal tahun 1980an apabila
pertubuhan UMNO itu sendiri diharamkan disebabkan kesalahan teknikal
yang menyebabkan mahkamah memutuskan tentang pengharamannya. Maka
lahirlah UMNO Baru sehingga kini.



Kedudukan UMNO
agak ‘gawat’ bermula pada awal Kurun ke 21 dan sehingga kini kedudukan
UMNO adalah dalam keadaan terumbang ambing. Apakah keadaan kualiti
kepimpinan UMNO itu sendiri yang menyebabkan UMNO berkadaan demikian
ataupun disebabkan oleh punca-punca lain.

Aku hanya berani membuat
penganalisaan hanya berdasarkan kepada pemerhatian rambang yang langsung
tidak mendasarkan kesimpulan berasaskan fakta dan statistik.



Dulu UMNO berjuang untuk bangsa, agama dan negara dalam ertikata yang
sebenar-benarnya dan lantas wujudlah pejuang-pejuang Melayu yang begitu
gigih memperjuangkan idealisme perjuangan mereka tanpa penat dan lelah.
Sebelum kemerdekaan perjuangan mereka adalah untuk membebaskan tanah
air. Tidak ada ganjaran material yang dijanjikan kepada mereka selain
daripada mengembalikan ibu pertiwi ke tangan mereka. Dan para pejuang
dalam UMNO itu juga tidak memikirkan tentang ganjaran apabila mereka
mencurahkan jasa bakti kepada negara.



Pada peringkat
awal perjuangan lahirlah pejuang-pejuang tulin seperti Dato Onn Jaafar
yang kemudiannya dituruti oleh Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun
Dr Ismail, Dato panglima Bukit Gantang, Dato Nik Ahmad Kamil dll.
Terlalau ramai pejuang UMNO yang cuba dan telah mengembalikan maruah
orang Melayu pada ketika itu. Dan mereka ini bukanlah merupakan ‘jaguh
kampung’ yang boleh ‘dibeli’ dan diperkotak-katikan. Malah mereka adalah
golongan yang boleh ‘bersepak-terajang’ di arena antarabangsa seperti
mana pejuang-pejuang dari negara-negara lain.



Kini
kelihatan dengan jelas bahawa UMNO ketandusan tokoh yang sedemikian.
Kebanyakannya boleh ditakrifkan hanya sebagai ‘jaguh kampung’ yang hanya
‘nyaring’ kokoknya apabila berhadapan dengan orang kampung tetapi
‘menguku’ apabila berhadapan dengan masyarakat antarabangsa. Mereka
‘kaku’ dan ‘tergamam’ dan ‘gemuruh’ apabila berada di pentas
antarabangsa apatah lagi apabila berhujah secara ‘impromptu’ tanapa teks
di tangan.



Malangnya golongan UMNO yang sebegini
dikatakan mewakili orang Melayu sedangkan orang Melayu yang bijak pandai
yang boleh mengisi takrif ‘pejuang’ tulin ‘bersepah’ berada di luar
UMNO. Disebabkan ketiadaan pejuang Melayu yang betul-betul hebat
‘berpencak’ di arena antarabangsa, maka ‘malap’lah imej Melayu bukan
sahaja dikalangan masyarakat antarabangsa tetapi sentiasa dipandang
rendah oleh masyarakat di negara Malaysia juga.



UMNO
kini juga sudah ‘kehilangan’ tokoh-tokoh seperti TS Syed Jaafar Albar
(Singa UMNO), Dato Harun Idris, Anwar Ibrahim yang telah ‘mewarnai’ era
Pemuda UMNO dengan tindakan mereka yang begitu berani dan berkesan demi
menegakkan maruah bangsa Melayu khususnya dan bangsa Malaysia. UMNO kini
sudah ketandusan tokoh-tokoh yang betul-betul berjuang untuk memajukan
bangsanya. Sumbangan dan jasa bakti mereka akan terus dikenang oleh
bangsa walaupun mereka dipenjarakan ( seperti Dato Harun Idris dan
Saudara Anwar Ibrahim) dan rakyat tetap merasakan baahwa mereka tidak
bersalah dan terus menerus mengiktiraf mereka sebagai pejuang tulin.



Perubahan yang berlaku dalam kepimpinan UMNO kini adalah
amat luar biasa. Pemimpin UMNO seolah-olah telah melupakan peranan yang
harus dimainkan oleh mereka dalam memajukan negara, bangsa dan agama.
Aku amat yakin kini bahawa tidak ramai lagi ahli UMNO yang dapat
menghayati perjuangan UMNO sebagaimana yang termaktub ketika
penubuhannya 69 tahun yang lalu.



Kita tidak akan
‘berjumpa’ lagi (mungkin) dengan pemimpin UMNO yang sanggup menjualkan
harta benda miliknya demi untuk kepentingan perjuangan UMNO seperti mana
yang dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman. Aku tidak pernah dengar kisah
ahli wanita UMNO kini yang sanggup ‘melucutkan’ barang kemasnya
sepertimana yang dilakukan oleh ahli Kaum Ibu UMNO yang sanggup
melucutkan barang kemas mereka demi membiayai perbelanjaan rombongan
kemerdekaan ke London. Dan aku tidak pernah dengar kini kisah seorang
menteri yang sanggup meletak jawatan disebabkan

perselisihan pendapat
mengenai sesuatu dasar negara sepertimana yang pernah dilakukan oleh Tun
Dr Ismail yang meletakkan jawatan disebabkan perselisihan pendapat
dengan Tun Tunku Abdul Rahman.



‘Pejuang’ UMNO kini
harus mengenang kembali perjuangan pejuang-pejuang lama yang betul-betul
‘tulin’ demi memajukan bangsa dan negara. Ahli-ahli UMNO kini
seharusnya tidak menjadi ‘pak turut’ yang boleh ‘dicucuk hidung’
disamping mengelakkan diri dianggap sebagai memlliki ‘herd mentality’.
Tak mungkin agaknya para ‘pejuang’ UMNO kini sanggup menggadaikan bangsa
sendiri demi untuk mendapatkan ‘sesuap’ nasi. Dan para ‘pejuang’ juga
tentu dapat menilai yang mana yang betul dan yang mana yang tidak betul
mengenai dasar kepimpinan dalam UMNO itu sendiri.



UMNO memerlukan lebih ramai ‘Tun Dr Ismail’ yang boleh bertindak dengan
tegas walaupun bertentangan pendapat dengan seorang ketua, sekiranya
dirasakan tindakan seorang ketua itu tidak bersesuaian dan merugikan
bangsa dan negara



UMNO kini ketandusan pemimpin yang sedemikian – pejuang tulin.-http://abuhassanadam.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment