Sunday, 10 May 2015

TH wajar ambil iktibar isu beli tanah




1MDB - TH Grafik Sinar Online






ALOR SETAR - Tabung Haji (TH) wajar mengambil iktibar dari isu
pembelian tanah bernilai RM188.5 juta di Tun Razak Exchange (TRX) dari
1MDB dan setiap keputusan dibuat selepas ini haruslah mengutamakan
pendeposit bukan kepentingan sesetengah pihak.



Presiden Persatuan Profesional Muda Islam Malaysia (Promis), Dr Nazil
Nuhairi Ismail berkata, tindakan membatalkan semula pembelian atau
menjual kembali tanah itu sangat wajar dilakukan kerana ramai pihak yang
tampil membantah.



Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Lembaga TH yang
akhirnya akur dengan tekanan dan desakan pelbagai pihak apabila
memutuskan untuk menjual semula plot tanah di TRX yang dibeli sebelum
ini.



Dalam satu kenyataan Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim
semalam berkata, tanah seluas 0.64 hektar akan dijual semula selepas
mendapat teguran pelbagai pihak termasuk nasihat dari Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai menghormati sensitiviti dan
kepercayaan pendeposit.



Menurutnya, tanah itu akan dijual dengan unjuran keuntungan
sekurang-kurangnya RM5 juta selain mendapat 100 peratus pulangan wang
yang dibayar kepada 1MDB bagi pembelian sebelum ini.

Dalam pada itu Nazil berkata, transaksi yang dibuat sebelum ini tidak wajar sama sekali atas apa jua alasan.



“TH adalah institusi yang menguruskan wang umat Islam dengan niat suci menunaikan haji.



“Pelaburannya mesti bersifat rendah risiko, bebas kepentingan dan
telus. TH perlu membela pendeposit bukan pihak yang berkepentingan,”
katanya.



Beliau berkata, pembelian tanah dari 1MDB, sebuah syarikat yang penuh
kontroversi dengan kos pembelian tanah di luar munasabah pasaran akan
menjerumus penggunaan duit umat Islam ke dalam kontroversi dan berisiko.



Sementara itu, Timbalan Pengerusi II Institut Kerjasama Islam
Antarabangsa Malaysia (Ikiam), Datuk Mustaffa Idrus berkata, TH perlu
lebih berhati-hati menggunakan duit orang ramai yang bertujuan
menunaikan haji dan wajib diurus dengan baik dan mematuhi syariah.



“Pengurusan TH perlu mengambil pengajaran dari insiden ini. Mujurlah
dengan kehendak ALLAH perkara ini terbongkar dan rakyat menyedari apa
yang berlaku.



“Rakyat sudah terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barang.
Cukup-cukuplah menggunakan wang simpanan mereka pula untuk tujuan tidak
sepatutnya,” katanya.


No comments:

Post a Comment