SINAR HARIAN
Najib Tun Razak
KOTA BELUD - "Saya terhutang budi pada Sabah," kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Saya pernah berkata Sabah adalah 'simpanan tetap' BN. Bagi saya, Sabah
tetap simpanan tetap BN," kata perdana menteri ketika melancarkan
Projek Perumahan Rakyat Kota Belud di sini hari ini.
Beliau berkata Sabah mempunyai potensi besar dan BN mesti memastikan
Sabah mendapat pembangunan yang seimbang sebagai menghargai jasa rakyat
Sabah kepada BN.
Najib berkata sejak menjawat jawatan perdana menteri enam tahun lalu,
beliau meluluskan banyak peruntukan dan projek besar di negeri ini
kerana beliau benar-benar mahu melihat landskap Sabah terus berubah.
"Saya akan banyak datang melawat Sabah lagi khususnya di kawasan luar
bandar. Rakyat di luar bandar cukup setia kepada UMNO dan BN. Sudah
pasti kerajaan BN yang mereka (penduduk luar bandar) sokong ini akan
terus bela mereka," katanya.
Najib turut kagum dengan kebolehan pemimpin yang dipilih daripada kalangan masyarakat Sabah.
"Ada orang nak 'cairkan' 'simpanan tetap' BN. Tetapi kita ada banyak
'panglima' (pemimpin-pemimpin dari Sabah) yang berani, tetap pendirian
dan tidak goyah," katanya.
Beliau memuji, antaranya, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang
mempunyai semangat luar biasa dalam membangkitkan kemahuan rakyat di
negeri ini; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan
Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan, yang berupaya berpidato secara
intelek; dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Salleh Tun
Said, yang mempunyai pemikiran yang tajam dan berani menyuarakan
pendapat.
Beliau turut melahirkan kekaguman terhadap Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat. - Bernama
No comments:
Post a Comment