Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya untuk Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak menunjukkan kualiti kepimpinannya dengan memecat
Menteri Pertanian dan Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kata
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim.
Beliau berkata, tindakan Ismail yang mengancam untuk tidak meluluskan
permohonan dan projek-projek pertanian di Permatang Pauh sekiranya
Pakatan Rakyat menang dalam pilihanraya kecil kawasan tersebut Khamis
ini, telah membuktikan betapa beliau tidak layak menjadi menteri
kabinet.
“Dengan ancaman terbaru yang tidak bertanggungjawab itu bahawa beliau
tidak meluluskan apa-apa dana pertanian jika Wan Azizah menang, rakyat
Malaysia ingin tahu apakah alasan Najib tidak memecat Ismail dari
pejabatnya?
“Pilihanraya yang demokratik mesti bebas, adil dan bersih. Sebarang
ancaman politik adalah sama sekali tidak boleh diterima dan tidak boleh
dibiarkan.
“Jadi, sudah tiba masanya Najib menunjukkan kualiti kepimpinan dan memecat Ismail dari Kabinet,” katanya dalam satu kenyataan.
Awal tahun ini, Ismail juga telah membuat kenyataan rasis dan tidak
sensitif yang menimbulkan kemarahan rakyat apabila beliau menyeru orang
Melayu untuk memboikot perniagaan masyarakat Cina supaya harga boleh
diturunkan.
Tegas Teresa, amaran itu jelas merupakan satu cabaran kepada konsep
1Malaysia dan ia amat membingungkan bahawa Najib boleh mengambil sikap
yang begitu toleran terhadap Ismail.
Namun, ia amat menghairankan apabila Najib bukan saja tidak menegur
bahkan bertindak mempertahankan Ismail melalui kenyataan Jabatan Perdana
Menteri dengan menyatakan tindakan tersebut tidak mensasarkan kaum
tertentu tapi bertujuan untuk menegur peniaga yang enggan menurunkan
harga barangan.
“Jika mana-mana Menteri di United Kingdom, Australia, Korea atau
Jepun telah membuat kenyataan perkauman ‘boikot peniaga Cina’ seperti
dilakukan Ismail, tidak ragu lagi bahawa beliau perlu meletakkan jawatan
daripada Kabinet atau dipecat.
“Dan jika seorang Menteri di negara tersebut telah membuat kenyataan
bahawa dia tidak akan meluluskan permohonan untuk dana pertanian, dia
juga akan dipaksa meletakkan jawatan atau dipecat daripada Kabinet,”
ujar Naib Pengerusi DAP itu. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment