Wednesday, 13 May 2015

Selangor masih kaji untuk serap GST







Selangor mempunyai 12 PBT menyebabkan
kerajaan negeri perlu melakukan penelitian implikasi kewangan yang
terpaksa ditanggung sebelum sebarang keputusan.







azmin,serap,gst








SHAH ALAM : Kerajaan Selangor masih menjalankan kajian untuk
mengecualikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi setiap
perkhidmatan kerajaan kepada rakyat di negeri itu.




Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, beliau telah mengarahkan
Unit Perancang Ekonomi Negeri (EPU) menjalankan kajian dan semakan
impilikasi kewangan jika kerajaan negeri menyerap GST.




Katanya, kerajaan juga akan menulis surat kepada Kementerian Kewangan
bagi memohon pengecualian GST untuk setiap perkhidmatan kerajaan kepada
rakyat.




“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kita membincangkan perkara
ini dan kerajaan negeri akan menulis surat kepada Kementerian Kewangan
memohon pengecualian GST untuk perkhidmatan kerajaan,” katanya selepas
Program Luncheon Talk Ulasan Buku “Khalifah Umar Abdul Aziz” pada Rabu.




Azmin berkata, Selangor mempunyai 12 PBT menyebabkan kerajaan negeri
perlu melakukan penelitian implikasi kewangan yang terpaksa ditanggung
sebelum sebarang keputusan dibuat berbanding Pulau Pinang yang hanya dua
PBT.




Pada Isnin lalu, Kerajaan Pulau Pinang dan Terengganu mengikut jejak
langkah Johor apabila mengumumkan menyerap GST bagi semua perkhidmatan
kerajaan.




Menerusi serapan GST itu, Kerajaan Johor menanggung sebanyak RM3 juta
setahun, Terengganu (RM1.6 juta) dan Pulau Pinang sebanyak RM21.4 juta.




Jumlah itu dibayar balik oleh tiga kerajaan negeri itu kepada Jabatan Kastam.




Dalam perkembangan lain, Azmin berkata, kerajaan negeri akan
mengadakan pertemuan dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
(KeTTHA), Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili dalam masa terdekat
bagi membincangkan status Langat 2.




“Saya telahpun menyediakan beberapa hujah untuk saya bincang dengan
Menteri pada awal minggu hadapan dan kita berharap dengan ada
perbincangan ini kita akan dapat jalan penyelesaian,” katanya.




Tegasnya, kerajaan negeri menyokong pembangunan Langat 2 tetapi
projek persekutuan itu perlu selaras dengan garis panduan yang
ditetapkan.




“Kita perlu Langat 2 dan kita mahu ia dilaksanakan,” tegasnya.


No comments:

Post a Comment