KELAB GREENBOC
Pntadbiran Najib tidak bersih- Tun M
Tun Dr Mahathir Mohamad mengaku beliau menyerang Datuk Seri Najib Tun Razak kerana pentadbirannya yang didakwa tidak bersih.
Bekas Perdana Menteri berkata, beliau tidak puas hati kerana di bawah
pentadbiran Najib, duit negara hilang dan hutang luar negara pula
meningkat.
“Agenda kerajaan kena bayar hutang. Kalau bayar hutang saya tidak ada
masalah. Menjadi masalah sekarang ialah duit (negara) hilang.
“Kalau satu juta, dua juta takpelah, ni sampai 14 juta, 20 juta hilang.
Tidak tahu ke mana perginya. Ini persoalannya. Saya tak puas hati pasal
duit hilang…duit kerajaan,” katanya pada sidang media selepas
menyampaikan Syarahan Perdana di German-Malaysia Institute pada Rabu.
Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta untuk mengulas
mengenai kenyataan Najib yang menyatakan beliau tidak akan berganjak
walaupun ‘diserang’.
Najib ketika berucap ketika melancarkan laporan Program Transformasi 2014 berkata, beliau tidak akan berganjak atau menyerah kalah walaupun diasak dan dikritik. -FMT
Najib Enggan Menyerah Kalah, Mahathir Pun Tak Mungkin Mengalah...
Hanya beberapa jam setelah Perdana Menteri, Najib Razak mengatakan
beliau tidak akan menyerah kalah di sebalik pelbagai kritikan dan
serangan terhadapnya, Tun Mahathir Mohamad juga memperlihatkan
pendiriannya yang tidak mahu mengalah daripada terus menegur dan
mengasak.
Jika malam tadi Najib mengungkapkan madah Bugisnya, Tun Mahathir hari
ini bukan saja mengulangi kritikan mengenai gaya hidup mewah isteri
Perdana Menteri, Rosmah Mansor bahkan menyifatkan kerajaan pimpinan
Najib sebagai tidak bersih kerana menyebabkan banyak kehilangan wang
serta meningkatnya hutang negara.
Beliau juga menyebut mengenai kos bunga untuk perkahwinan anak perempuan
Najib dan Rosmah sehingga RM3 juta yang menjadi perbualan ramai dan
diceritakan oleh ramai orang kepadanya.
Dalam konteks Najib, beliau dilihat sama sekali tidak mungkin berganjak
dari kerusi Perdana Menteri yang sedang didudukinya, walaupun Tun
Mahathir sudah beberapa kali mendesaknya agar berundur demi
menyelamatkan nasib UMNO dan BN daripada ditimpa kekalahan.
Jika sebelum ini beliau mengatakan tidak rasa keseorangan, kali ini
Najib memperlihatkan seolah-olah pantang baginya untuk menyerah kalah,
sesuai dengan darah Bugis yang mengalir dalam tubuhnya.
Najib juga tidak mungkin menjawab segala kritikan Tun Mahathir
terhadapnya, meskipun semakin ramai yang mahukannya berbuat demikian.
Terbaru, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi - selepas Tengku
Razaleigh Hamzah, Shahrir Samad, Khairy Jamaluddin, Shafie Afdal, Nur
Jazlan dan beberapa yang lain, turut berpendirian bahawa Najib harus
menjawab sendiri semua persoalan itu.
Sama ada Najib tidak mahu atau tidak mampu menjawabnya, jawapannya
ketika ini ialah beliau tidak mahu menyerah kalah atau lebih mudahnya
ialah "saya masih mahu menjadi Perdana Menteri."
Tun Mahathir pula, sepertimana yang difahami oleh ramai orang, tidak
pernah sama sekali mahu mengalah, menyarah kalah atau mengaku kalah atas
sesuatu yang sudah dimulakannya.
Ini kerana beliau dikatakan tidak mungkin melakukan sesuatu jika tidak mempunya asas yang kukuh mengenainya.
Beliau juga ditafsir oleh ramai orang sebagai seorang yang semakin hebat
pemikiran dan daya kreativitinya apabila menghadapi tekanan atau ketika
sedang berbalah dengan seseorang.
Apabila Najib tidak mahu menyerah kalah, ramai yang merasakan Tun
Mahathir, bukan saja akan lebih agresif dan berstamina, bahkan
kemungkinan tampil dengan lebih maklumat dan idea luar biasanya lagi
selepas ini.
Meminta Tun Mahathir berhenti mengkritik dan menegur juga seperti tidak
munasabah. Ini kerana bukan saja beliau sudah menegur secara tertutup
dan menulis surat tetapi tidak dipedulikan oleh Najib, lebih dari itu
semua persoalan yang dibangkitkannya juga mendapat sokongan yang nyata
daripada rakyat.
Dengan Najib tidak mahu menyerah kalah dan Tun Mahathir tidak mungkin
mengalah, pertanyaan ramai orang ketika ini ialah apakah kesudahannya
nanti?
Apakah pertembungan mereka ini akan berlarutan sehingga PRU 14 nanti dan
akhirnya menatijahkan "seorang menjadi abu manakala seorang lagi
menjadi arang?"
Atau adakah Najib seharusnya dipaksa berundur demi masa depan UMNO dan
BN kerana yang dikatakan menjadi beban sekarang ialah beliau dan
bukannya Tun Mahathir?
Dengan pertembungan ini sudah memasuki episod getir sekarang, apakah ia
menandakan sudah sampai masanya pimpinan dan ahli UMNO akar umbi harus
bangun dan menyatakan pendirian mereka dengan segera, bukan lagi
penentuan nasib parti sekadar berlegar di kalangan 191 Ketua Bahagian
saja?
-shahbudindotcom

No comments:
Post a Comment