SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan
akan mengumumkan laporan hasil siasatan yang dijalankan oleh Ketua Audit
Negara terhadap badan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) dalam masa
terdekat.
Beliau menerusi NajibRazak.com, telah meminta semua pihak supaya menghentikan segala spekulasi berkaitan badan tersebut.
“Saya akan umumkan laporan awal berkaitan 1MDB. Ia merupakan hasil siasatan awal yang dilakukan oleh Ketua Audit Negara.
“Saya minta semua pihak supaya bertenang dan tidak mengeluarkan
sebarang kenyataan tanpa maklumat yang belum tentu sahih. Maklumat
lengkap mengenai urusniaga 1MDB turut akan disebut dalam laporan itu
nanti.
“Tidak adil bagi sesetengah ahli politik untuk mengeluarkan kenyataan
yang belum tentu sahih kepada umum mengenai 1MDB sebelum Jawatankuasa
Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Ketua Audit Negara mengeluarkan
kenyataan berhubung urusniaga badan tersebut,” kata beliau.
Najib turut memberi jaminan bahawa individu atau pihak yang terlibat
dalam penyalahgunaan dan penyelewengan dalam badan tersebut akan dibawa
ke muka pengadilan.
“Bila kebimbangan berhubung badan tersebut disebut-sebut dan meningkat,
saya sudah arahkan PAC dan Ketua Audit Negara menjalankan siasatan
terhadap sebarang bentuk urusniaga 1MDB.
“Sesiapa atau mana-mana pihak yang didapati terlibat dengan
penyalahgunaan dan penyelewengan akan dibawa ke muka keadilan,” katanya
lagi.
Najib dalam pada itu menasihati semua pihak supaya memastikan kesahihan
maklumat yang diperoleh terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang
kenyataan.
“Jangan percaya apa yang disiarkan di media cetak dan elektronik. Itu
bukan prosedur yang betul. Kalau kita benar-benar mahu tahu maklumat
sebenar, kita perlu mendapatkan maklumat yang sah dari sumber yang boleh
dipercayai.
“Biarkan pihak berkuasa seperti juru audit melakukan kerja-kerja mereka
dan mereka akan jelaskan pada kita apa situasi sebenar 1MDB,” ujarnya
lagi.
No comments:
Post a Comment