SHAH ALAM - Penganalisis berpendapat isu pelarian Rohingya harus dibawa
ke meja rundingan untuk diselesaikan segera dengan baik.
Pensyarah Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor
Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, Malaysia disarankan
berunding dengan beberapa pihak yang dilihat dapat mengatasi masalah
ini.
“Jika mereka tiba di negara kita, bantulah mereka. Lupakan soal politik
dan beban yang etnik ini akan bawa ke atas negara kita. Kita
berundinglah dengan Pesuruhjaya Tinggi PBB, Asean dan Myanmar untuk
mengatasi masalah ini.
“Berilah peluang kepada etnik yang telah sekian lama ditindas oleh
tentera Myanmar ini untuk hidup di daratan, bukannya mati di lautan,”
katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Beliau berkata, Malaysia wajar prihatin terhadap isu Rohingya seperti
yang telah dilakukan ke atas isu kemanusiaan di negara lain.
“Jika kita prihatin kepada tragedi kemanusiaan yang berlaku di negara
lain, mengapa tidak kita juga prihatin dan simpati kepada pelarian
Rohingya ini? Mereka bukanlah sama seperti pendatang asing atau pelarian
ekonomi.
“Mereka menjadi pelarian kerana kekejaman yang berlaku di negara
mereka. Oleh itu kita mesti menghulurkan bantuan, tanpa perlu
menjadikannya sebagai isu politik,” katanya.
No comments:
Post a Comment