SHAH ALAM - Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin mengajak
rakyat Malaysia agar bersama-sama menyertai bekas Perdana Menteri, Tun
Dr Mahathir Mohamad berdoa agar ALLAH membuka hati Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak supaya meletakan jawatan.



Menurutnya, Dr Mahathir yang kini berada di Makkah, mungkin membolehkan doa itu ‘mudah diterima ALLAH’.



“Seluruh umat Melayu dan Islam di negara Malaysia tercinta ini, marilah
kita bersama-sama menyertai doa Tun Dr Mahathir di tanah suci Makkah.



“Agar ALLAH membuka hati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul
Razak untuk dengan secara bijaksana berundur diri dan meletakan jawatan
pada masa yang sesuai bagi menyelamatkan maruah bangsa, agama dan
negara. Dr Mahathir berlepas semalam ke Makkah untuk menunaikan umrah,”
tulisnya di laman blognya.



Mengulas lanjut, Zainuddin berkata, maklumat yang diterima olehnya
telah menunjukkan ahli Majlis Tertinggi Umno telah pun menerima hakikat
bahawa Najib tidak lagi mendapat sokongan rakyat.



“Najib telah tidak diterima terutama dalam parti sendiri dan mereka
mungkin akan memberitahu Najib secara ikhlas, bersopan dan beradab dalam
mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno petang ini,” tulisnya.



Sejak kebelakangan ini, Zainuddin antara orang yang lantang mengkritik pentadbiran Najib selain Dr Mahathir.