Thursday, 7 May 2015

Jurugambar bebas KL Express cedera dibaling batu



SINAR HARIAN














Jurugambar bebas KL Express cedera dibaling batu Pasukan
Unit Polis Simpanan Persekutuan mengawal penyokong-penyokong Barisan
Nasional (BN) semasa berlaku kekecohan diantara penyokong BN dan
penyokong Parti Keadilan Rakyat di Tanah Liat. - Foto Bernama









PERMATANG PAUH - Seorang jurugambar bebas portal berita, KL Express,
menerima lapan jahitan di kepalanya selepas cedera terkena batu yang
dibaling sekumpulan penyokong parti politik ketika merakam kekecohan di
pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Liat di sini, hari ini.



Mahathir Mohammad, 40, berkata, dalam kejadian 11.30 pagi itu, berlaku
provokasi di antara dua kumpulan penyokong yang meraih undi untuk
Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh sehingga bertikam lidah sebelum
mereka bertindak mengambil batu-batu di atas jalan raya dan membaling
antara satu sama lain.



Berikutan kejadian itu, beliau yang juga seorang blogger, bertindak
mengambil kameranya dan merakamkan situasi berkenaan namun beliau
terkena batu yang dibaling penyokong parti sehingga kepalanya berdarah.



"Ini kali pertama saya mengalami kecederaan ketika bertugas lebih lima
tahun terbabit dalam bidang ini...Alhamdullilah, kecederaan saya tidak
serius dan dirawat di Hospital Bukit Mertajam," katanya ketika dihubungi
di sini, hari ini.



Beliau dirawat sebagai pesakit luar di hospital berkenaan.



Mahathir berkata, beliau tidak membuat laporan polis dan menganggap
kejadian itu sebagai pengalaman dan panduan supaya lebih berhati-hati
dalam bertugas.



Selain SK Tanah Liat, kekecohan juga dilaporkan berlaku di pusat
mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Perahu dan Sekolah
Menengah Jenis Kebangsaan Jit Sin.



Bagaimanapun, keadaan tegang itu dapat dikawal sepasukan anggota polis
yang bertugas dengan meningkatkan kawalan keselamatan di tempat-tempat
berkenaan.



Sementara itu, jurucakap Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi PRK Parlimen
Permatang Pauh ACP Azmi Adam berkata pihaknya tidak menerima laporan
polis berhubung kejadian itu.



Sehingga 4 petang ini, proses pengundian di semua pusat mengundi berjalan lancar, katanya ketika dihubungi di sini.



PRK Permatang Pauh ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara
calon BN Suhaimi Sabudin, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail, Azman Shah Othman (PRM) dan Salleh Isahak (Bebas). -Bernama


No comments:

Post a Comment