Thursday, 7 May 2015

GST tak pilih kaum mana jadi mangsanya






Oleh RAYUSA





UMNO terus cuba menunjukkan mereka menentang perkauman walaupun unsur itu yang tetap
menjadi senjata utamanya setiap kali rasa tergugat. Mereka tetap cuba
menjadi juara orang Melayu meskipun sejak sekian lama menjadi punca
orang Melayu mundur.



Seolah-olah lupa dengan insiden gereja
Taman Medan pada 19 April lalu yang menggugat keharmonian pelbagai
agama dan kaum, Pemuda Umno membantah forum yang dijadualkan
berlangsung di Kluang, 23 April lalu kerana mendakwa ia berbau
“perkauman.”



Mengikut perancangan, forum mengenai cukai
barangan dan perkhidmatan (GST) serta politik perkauman itu akan
menampilkan empat Adun dari DAP sebagai penceramah, termasuk Wong Shu Qi
(Senai), Tan Hong Ping (Mengkibol), dan Ee Chin Li (Tangkak).



Pada
sebelah siang sebelum forum tersebut dijadualkan berlangsung, Ketua
Pemuda Umno Kluang, Dato’ Khairul Anwar Rahmat mengatakan pergerakan itu
mahu DAP menarik balik rancangan mengadakan sebarang perbincangan yang
berbau perkauman.



Tegas Khairul Anwar, tiada masalah jika DAP
mahu membincangkan soal GST, tetapi jangan mengaitkannya dengan soal
perkauman. Perbezaan pandangan politik, tambahnya, tidak bermakna
sentimen perkauman boleh dimainkan kerana itu akan mengganggu
keharmonian.



Hal itu timbul selepas penganjur, kumpulan belia
LayPark @ Kluang, mengadu menerima ancaman dari pihak yang tidak
dikenali menerusi aplikasi WhatsApp yang berkata mereka akan “buat
kecoh” dalam forum itu jika ia tidak dibatalkan.



Walau bagaimanapun, Khairul Anwar berkata beliau akan hadir bagi memastikan demonstrasi terkawal.



Menurut Sheikh Omar Ali sebagai wakil penganjur, LayPark @ Kluang
adalah inisiatifnya sendiri dan tiada kaitan dengan DAP walaupun dia
ahli Pemuda DAP Johor dan pembantu ahli Parlimen Kluang (DAP), Liew Chin
Tong.



Katanya, kumpulan itu akan meneruskan forum tersebut di
sebuah restoran pada malam tersebut, dan tidak akan mengupah anggota
keselamatan jika ada gangguan.



Namun begitu, forum tersebut
akhirnya dibatalkan selepas penceramah mendapati tempat ia bakal
diadakan gelap, serta ditutup dengan pita halangan berwarna merah dan
putih.



Menurut penganjurnya, Sheikh Omar, Restoran Tepi Sungai
Jamilah didapati ditutup apabila penceramah tiba sekitar jam 8.15 malam.
Katanya, kira-kira 60 hingga 70 orang berada di sana dan separuh
daripadanya adalah penyokong mereka, sementara yang lain dipercyai ahli
Umno dan anggota polis.



Kata Sheikh Omar yang mewakili LayPark @
Kluang, dia mengesyaki kira-kira 30 yang hadir di situ adalah dari
Pemuda Umno kerana “mereka kelihatan mencurigakan” dan “merenung pihak
penganjur dengan cara yang pelik.” Khairul Anwar yang mendakwa akan
menghadiri demonstrasi itu, tidak kelihatan.



Tambah Sheikh Omar,
terdapat empat sekatan jalan di jalanjalan berbeza yang menghala ke
restoran tersebut. Katanya, dia dan rakan-rakan lain dari Kluang jarang
melihat sekatan jalan di situ dan pihak polis tidak memberitahu tujuan
jalan tersebut disekat.



Ekoran pembatalan forum itu, Sheikh Omar
menyalahkan Khairul Anwar yang menurutnya ‘tidak gentlemen’. Katanya,
Pemuda Umno mahu membantah perkauman, tetapi tajuk forum adalah Anti-GST
dan Politik Perkauman. Dia menegaskan, Pemuda Umno sepatutnya menyertai
forum itu, bukan menghalang.



Memang pun. Memang tiada salahnya
tajuk sedemikian. “Politik perkauman” bukan bermaksud mengajak kepada
perkauman dan saling membenci. Masakan Pemuda Umno tidak memahami
perkataan semudah itu hingga begitu mudah membuat tuduhan.



Difahamkan, restoran tersebut akhirnya dibuka semula pada jam 11.30
malam, tetapi ketika itu, pihak penganjur telah membuat keputusan untuk
menangguhkan forum sehingga selepas pilihan raya kecil Permatang Pauh
pada 7 Mei .



Mengenai dakwaan bahawa forum itu bersifat
perkauman, Sheikh Omar meminta Umno menjelaskan apa sebenarnya yang
menyinggung mereka. Adakah ia bersifat perkauman kerana tajuknya? Jika
demikian, kata Sheikh Omar, “roti canai,” itu juga bersifat perkauman,
kerana “roti canai” (boleh didapati) di gerai “mamak” dan di gerai orang
India.



Tambah Sheikh Omar, jika kata “babi” pula, adakah ia akan menjadi perkauman kerana orang Cina memakannya?



Tidak mungkin forum tersebut akan menggalakkan perkauman. Ia hanya
membincangkan perkara tersebut secara umum, dan dijangka memberi saranan
agar politik perkauman ditolak sama sekali.



Yang penting
sekarang adalah tekanan GST yang tidak mengira siapa dan dari kaum mana.
Itu yang wajar disedari. Sepatutnya Pemuda Umno itu menyertai forum
tersebut. Jika tidak berpuas hati juga dengan politik perkauman itu,
mereka boleh meminta penganjur membuangnya daripada perbincangan.


No comments:

Post a Comment