Wednesday, 13 May 2015

JAWI tarik balik kes terhadap Borders

MALAYSIAKINI














Tiga tahun selepas pengurus kedai Borders Nik Raina Nik Abdul Aziz
didakwa, Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) menarik balik kes itu
ekoran ancaman berdepan dengan prosiding menghina mahkamah.



JAWI, dalam sepucuk surat bertarikh hari Isnin, bersetuju untuk menarik
balik tindakannya dan rayuannya terhadap pembebasan Nik Raina di
Mahkamah Rayuan Syariah.



Surat Jawi ditandatangani oleh ketua pendakwanya, Mohamad Adib Husain
dan salinan surat itu dihantar kepada Mahkamah Syariah semalam.
Malaysiakini melihat salinan surat yang dihantar itu.



Dilaporkan bahawa pada hari Sabtu, Borders, melalui peguamnya dari firma
Lee, Hishammuddin Allen Gledhill, telah mengancam untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap ketua pengarah JAWI dan ketua pendakwanya.



Peguam Borders menegaskan ia ekoran tindakan JAWI yang tidak mematuhi keputusan Mahkamah
Tinggi sivil dan Mahkamah Rayuan yang meminta mereka menghentikan
tindakan undang-undang mereka dan menggugurkan pertuduhan terhadap Nik
Raina.



Peguam kedai buku itu menghantar surat tersebut kepada JAWI pada 5 Mei.



Sebelum ini dalam surat guamannya, Borders memberi amaran bahawa JAWI
boleh didapati menghina kedua-dua perintah Mahkamah Tinggi pada 22 Mac
2013 dan perintah Mahkamah Rayuan bertarikh 30 Disember 2014.



Ini ekoran semakan kehakiman yang difailkan oleh Nik Raina, dan pengurus
besar operasi dan barangan Borders, Stephen Fung Wye Keong, yang
mengisytiharkan bahawa serbuan dan rampasan buku itu adalah salah.






Nik
Raina dituduh menjual buku 'Allah, Liberty and Love" tulisan pengarang
Kanada, Kanada Irshad Manji, pada 23 Mei 2012 di kedai buku itu di
Gardens Mall.



Bagaimanapun, buku ini hanya diwartakan sebagai diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri enam hari kemudian.



Kerana JAWI tidak boleh mendakwa sesebuah syarikat atau bukan Islam,
maka Nik Raina menjadi mangsa keadaan dan didakwa oleh pihak berkuasa
Islam itu.



Nik Raina, ketika dihubungi Malaysiakini berkata beliau hanya mendapat tahu JAWI menarik balik kes terhadapnya petang ini.



"Saya menitiskan air mata dan pada mulanya tidak percaya bahawa selepas
tiga tahun, mereka telah bersetuju untuk menghentikan kes itu."



"Saya ingin berterima kasih kepada Berjaya Group terutama pengerusi dan
CEO Robin Tan kerana banyak mengeluarkan duit untuk kes ini dan juga
ketua pegawai operasi saya Yau Su Peng, dan peguam Rosli Dahlan," kata
beliau.



Nik Raina berkata beliau telah menyampaikan berita gembira itu kepada
keluarganya dan mereka juga pada mulanya sukar untuk mempercayainya
tetapi bersyukur pengalaman pahit itu sudah berakhir.




No comments:

Post a Comment