Mufti Perlis kesal dengan tindakan kerajaan membiarkan pelarian Rohingya kehausan dan kelaparan di tengah lautan.
PETALING
JAYA: Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin mengkritik kerajaan
kerana tidak memberi perlindungan kepada pelarian Islam Rohingya yang
ditindas di negara mereka.
Beliau bimbang sikap tamak dan kerakusan kerajaan yang enggan
menyelamatkan saudara sesama Islam akan mengundang malapetaka besar
kepada negara ini.
“Kita amat bimbang, kerakusan dan ketamakan kita ini akan mengundang bala Tuhan yang menakutkan.
Jika sebelum ini beberapa petanda bala demi bala datang kepada
pentadbiran negara, atas sebab musabab yang hanya Tuhan Maha Ketahui apa
yang telah berlaku dalaman mereka yang berkuasa.
“Namun, kehilangan kemanusiaan ini dibimbangi menjemput kemurkaan
Tuhan di lautan dan di daratan. Pohon perlindungan Allah untuk sekalian
rakyat yang tidak bersalah,” tulisnya di Facebook.
Katanya, pendirian kerajaan menghalau pelarian itu amat menyedihkan
kerana sanggup melihat saudara seagama mati kehausan dan kelaparan di
tengah lautan.
“Jika musibah tidak menimpa mereka, tentu mereka juga tidak bergadai
nyawa membelah badai. Namun, atas ketamakan kita, bimbang rezeki kita
dikongsi orang, kita halau mereka bersabung nyawa di lautan.
“Kita lupa bahawa, jika Allah kehendaki rezeki yang di tangan pun
boleh hilang. Lihat sahaja 1MDB. Ke mana rezeki itu telah pergi. Mayat
pesawat yang terhempas di lautan yang hampir yakin mati masih kita cari,
sedangkan yang masih hidup di lautan kita cuba biarkan mati.
Di manakah kemanusiaan kita ini?”, katanya.
Asri berkata, amat memalukan apabila Malaysia yang menganjurkan
pogram Selawat Perdana dengan bayaran mahal kononnya untuk membuktikan
lebih Islamik namun tidak mampu membantu mereka seagama yang tertindas.
“Sedangkan negara-negara Eropah yang tidak muslim itu pun, cuba
menyelamatkan pelarian di lautan mereka, kita yang kononnya sakan
‘salawat perdana’ dengan ratusan ribu harga bayaran, sanggup melihat
manusia mati di lautan demikian rupa kerana bimbang rezeki kita dikongsi
orang. Kemudian, kita beritahu ‘kita muslim terbaik’?,” katanya.
Beliau berkata, Aceh yang membantu pelarian Rohingya telah menyelamat
maruah Islam ketika seluruh dunia senyum melihat umat Islam membiarkan
saudara seagama mati.
No comments:
Post a Comment