KUALA TERENGGANU - [KEMASKINI] Pas Terengganu mengharapkan tiada
sebarang pertandingan jawatan presiden dalam pemilihan parti itu
menjelang Muktamar Tahunan Pas, bulan depan.





Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat menggambarkan
kepimpinan presiden sedia ada sebagai terbaik dan berharap dua calon
lain yang layak bertanding di peringkat jawatan presiden iaitu Naib
Presiden, Datuk Husam Musa dan bekas Naib Presiden, Ahmad Awang menolak
pencalonan berkenaan.



Beliau berharap kedua-dua mereka bijak mengambil keputusan memandangkan
Abdul Hadi ketika ini sudah jauh mendahului dengan angka pencalonan
begitu besar berbanding Husam dan Ahmad.



“Melalui pencalonan itu sebenarnya kita sudah dapat lihat isyarat yang
diberi oleh perwakilan peringkat kawasan, tetapi terserah kepada empunya
diri untuk bertanding atau tidak. Harapan kita supaya tiada
pertandingan.



“Kita harap mereka tengok pencalonan dan nilai (jumlah) pencalonan yang
diberi. Ia sudah cukup memberi isyarat daripada perwakilan,” katanya
kepada Sinar Harian, di sini.



Dalam laporan Sinar Harian Rabu lalu, tiga daripada empat nama
dicalonkan melalui pemilihan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan
layak bertanding bagi jawatan Presiden Pas.



Antara nama melepasi had kelayakan bertanding adalah Husam dan Ahmad.





Dalam kenyataan terbaharu, Ahmad memberitahu bahawa beliau mahu tunggu
surat rasmi dikeluarkan sebelum membuat keputusan sama ada menerima atau
menolak pencalonannya untuk bertanding jawatan presiden parti itu pada
pemilihan bulan depan.



Sementara itu, Satiful Bahri berkata, di Terengganu, semua perwakilan
di lapan kawasan mencalonkan Abdul Hadi sebagai presiden dan Datuk Tuan
Ibrahim Tuan Man sebagai timbalan presiden.





Menurutnya, keadaan itu bukan hanya berlaku di negeri ini tetapi juga
sebahagian besar kawasan di negeri lain kerana gabungan kedua-duanya
cukup menggambarkan bahawa Pas benar-benar menyokong dan mendukung
kepimpinan ulama.





“Saya rasa kepimpinan ulama diberi isyarat jelas untuk jadi teras
kepada kepimpinan selari dengan prinsip perjuangan Pas,” katanya.