SHAH ALAM –Rentetan kontroversi pembelian hartanah
1MDB oleh Lembaga Tabung Haji (TH) yang didedahkan semalam didakwa
memberi kesan kepada golongan pencarum TH terutamanya yang tinggal di
luar bandar.
Menurut Abdul Razak Ismail, 61, yang berasal dari
Gerik, Perak, beliau terkejut dengan berita tersebut, kerana risau akan
duitnya di dalam Tabung Haji.
“Pak cik terkejut dan kecewa dengan berita tersebut…apa
yang dikesali adalah bila didedah di media barulah TH hendak
mengakuinya.
“Kenapa TH tidak maklumkan awal-awal mengenai ke mana
duit pelaburan pencarum, sebab bila ada berita-berita negatif macam ini
kami orang-orang kampung risau, bukan senang nak kumpul duit pergi
menunaikan haji.
“Itu adalah amanah daripada orang-orang yang hendak
melabur untuk pergi ke tanah suci Makkah,” katanya ketika dihubungi
Sinar Online.
Mengulas lanjut Abdul Razak berkata lagi satu perkara
yang merunsingkannya adanya penglibatan orang politik di dalam Tabung
Haji.
“Tidak sesuai orang politik campur tangan dalam agensi
kerajaan, ia akan wujud konflik dalaman, pak cik memang tak setuju
sangatlah, kalau boleh berilah orang lain seperti orang ekonomi ke yang
tiada kepentingan dalam parti politik,” katanya.
Manakala menurut Mazidah Abd Ghani, 28, yang berasal dari negeri utara tanah air turut senada dengan Abdul Razak.
Katanya rata-rata orang kampung yang ditemuinya ketika berbual mengenai perkara itu meluahkan perasaan kecewa.
“Saya meniaga di kampung, bila ada yang datang kedai
bila cakap pasal perkara ini rata-rata luahkan perasaan kecewa dan
risau. Mereka kata sepatutnya tabung haji tidak patut terpalit dengan
kontroversi ini.
“Mereka risaulah sebab pembelian itu katanya dilakukan
bulan April lalu, kalau TH benar-benar ingin menjaga kepentingan
pencarumnya dedahkanlah awal-awal mengenai perkara tersebut, biar TH
dilihat telus dan amanah,” katanya.
Sementara itu menurut Miah Abd Majid, 58, yang juga
berasal dari Perak berkata, dia sendiri tidak kisah sekiranya TH ingin
membuat pelaburan namun biarlah pelaburan itu yang benar-benar ‘menjaga
amanah pencarum’.
“Saya tidak kisah kalau TH ingin membuat pelaburan,
pada saya satu pelaburan yang baiklah tetapi sekiranya pihak TH sendiri
kurang pasti saya rasa sesuatu yang merugikan dan tidak baiklah.
“Sebab duit itu amanah pencarum, kami orang kampung
memang kadang-kadang tak berapa faham, tetapi kami baca juga surat
khabar , jadi kami harap TH jagalah amanah orang-orang kampung,” katanya
yang pernah menunaikan haji sekali sebelum ini.
Manakala menurut Rohani Mad Saad pesara ,58, yang
berasal dari Negeri Sembilan turut meluahkan perasaan kecewa berkenaan
isu tersebut.
“Sepatunya duit itu tidak boleh disalahgunakan oleh pihak yang tertentu atas kepentingan peribadi.
“Kami takut juga, sebab bukan senang nak simpan duit untuk pergi haji,” katanya yang pernah menunaikan umrah sebelum ini.
Sementara menurut Nor Riza Mohd Yusof, 49, yang
merupakan seorang penduduk kampung yang berasal dari Kelantan dia
benar-benar tidak berpuas hati dengan penglibatan TH dengan pembelian
tanah 1MDB.
“Dengar pasal 1MDB pun sudah menakutkan saya,
harap-harap TH buat pelaburan yang betullah, jangan dok pusing pula,
risau saya dibuatnya,” katanya.
Isu membabitkan Lembaga Tabung Haji menjadi kontroversi
apabila dikatakan terlibat dengan pembelian meragukan dalam 1MDB ,
namun dinafikan oleh pihak TH dalam satu sidang media semalam.
No comments:
Post a Comment